KLANG – Ibu bapa kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengucapkan terima kasih kepada agensi itu atas dasar prihatinnya menyampaikan sumbangan berbentuk faedah kematian dan pencen bagi meringankan beban mereka.
Mat Nazir Abu Hassan, 52, berkata, beliau tidak tahu menahu anaknya, Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 11 Ogos lalu ada mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso menerusi SPS Lindung.
“Saya hanya tahu majikan terdahulu ada buat caruman atas nama anak saya yang ketika itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang menerusi Skim Keilatan.
“Beberapa hari lalu, pegawai Perkeso datang memaklumkan, yang kami akan menerima tiga faedah iaitu Faedah Pencen Penakat, Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis ringkas menerima Faedah Perkeso dari Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso, Azhar Md. Nadzri.
Turut hadir, Ketua Pegawai Komunikasi Perkeso, Izad Raya; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim; dan Pengurus Pejabat Perkeso Klang, Mohanadas Veraya.
Menurut Mat Nazir, dengan faedah Perkeso itu dapat meringankan tanggungan keluarganya, yang mana ketika hayat arwah, dia yang banyak membantu menanggung belanja rumah dan adik-adik yang masih bersekolah.
Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin yang berhenti kerja sebagai operator pengeluaran berikutan kesan pandemik Covid-19, melakukan pekerjaan sendiri iaitu penghantar makanan Grab Food.
Sepanjang bekerja sendiri, beliau telah membuat caruman dengan Perkeso lebih RM30 sebulan di bawah SKSPS menerusi SPS Lindung.
Berita kematiannya diketahui menerusi media sosial oleh pihak Perkeso yang terus membuat semakan dan mendapati Allahyarham mempunyai dua caruman, iaitu satu menerusi bekas majikan di sebuah kilang dan satu lagi caruman sendiri.
Berikutan itu, ibu bapa dan adik Allahyarham layak menerima dua pencen, iaitu Pencen Penakat yang dicarum oleh bekas majikan dan Pencen SKSPS SPS Lindung yang dicarumnya sendiri.
Pencen itu akan diterima ibu bapanya untuk seumur hidup, manakala adiknya menerima sehingga mencecah usia 21 tahun. – MalaysiaGazette