Seramai 11 wanita termasuk lapan warga asing ditahan terlibat dalam kegiatan pelacuran membabitkan tiga daerah di Tanah Besar hari ini..

SEBERANG PERAI – Langgan pelacur menerusi aplikasi WeChat sebelum dibawa ‘beraksi’ di hotel bajet.

Itu taktik sindiket pelacuran yang menjadikan WeChat sebagai medium menarik pelanggan lelaki hidung belang untuk melanggan pelacur tempatan dan warga asing sekitar daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Selatan.

Bagaimanpun, taktik mereka dibongkarkan sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya dalam Ops Noda Bersepadu hari ini.

Peralatan untuk kegiatan pelacuran turut dirampas dalam serbuan.

Serbuan bermula jam 3 petang itu dilakukan di empat hotel bajet di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth serta Simpang Ampat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, dalam empat serbuan, pihaknya menahan 11 wanita terdiri daripada tiga warga tempatan dan lapan warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan persundalan.

Difahamkan, lapan warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia serta Vietnam.

Jelas beliau, kesemua mereka yang berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun dipercayai dilanggan menerusi aplikasi WeChat sebelum datang ke hotel bajet yang ditetapkan sindiket bagi menawarkan perkhidmatan seks.

“Berdasarkan siasatan awal setiap pelanggan dikenakan bayaran RM120 hingga RM200 bagi setiap perkhidmatan persundalan itu.

“Pelacur yang ditempah akan menunggu di sebuah bilik dalam hotel bajet itu dan pelanggan akan mendapat nombor bilik apabila separuh bayaran dibuat secara online.

Masing-masing ditahan dalam hotel bajet di sekitar tanah besar.

“Dalam serbuan itu, kita juga merampas peralatan untuk kegiatan pelacuran seperti tisu, kondom, minyak pelincir, wang tunai serta telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut ditahan dalam serbuan sama, dua lelaki yang merupakan pelanggan serta penjaga hotel.

Mengulas lanjut, Rahimi berkata, pengusaha hotel terbabit akan dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek dibawa ke IPD berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Suka saya tegaskan di sini, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Operasi sebegini akan dilakukan dari semasa ke semasa dan kita mohon orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti tidak bermoral sebegini,” ujar Rahimi. – MalaysiaGazette