Sindiket dadah didalangi warga tempatan yang sembunyikan dadah dalam alat penyedut asap memasak dan dibungkus dalam kotak syarikat penghantaran barang berjaya ditumpaskan.

KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket dadah yang menyembunyikan dadah jenis methaphetamine di dalam alat penyedut asap memasak yang dibungkus dalam kotak sebelum diedarkan akhirnya terbongkar.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi satu serbuan ke atas sebuah syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran kurier di Pudu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, sindiket yang didalangi warga tempatan itu ditumpaskan menerusi serbuan operasi Op Castor.

Katanya, JSJN KL bertindak atas maklumat telah menjalankan satu risikan ke atas stu sindiket dadah yang aktif di kawasan Lembah Klang.

“Pada 15 Ogos lalu, lebih kurang pukul 10.40 malam, pasukan membuat serbuan di sebuah apartmen di Pandan Perdana dan telah berjaya menahan enam lelaki warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun.

“Hasil soal siasat lanjut ke atas mereka, polis telah melakukan satu lagi serbuan susulan di sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran kurier di kawasan Pudu.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di syarikat kurier itu polis berjaya menemui enam kotak coklat yang mana di dalamnya terdapat alat penyedut asap memasak yang akan dipasarkan ke luar Semenanjung Malaysia.

“Polis telah menjumpai 30 bungkusan plastik bertulis Qing Shan mengandungi dadah yang disembunyikan di dalam alat penyedut asap tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dadah methaphetamine sebanyak 30 bungkusan seberat 30.98 kilogram bernilai lebih RM1 juta tumpas di Pudu, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, bungkusan dadah itu merupakan jenis methaphetamine seberat 30.98 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.115 juta.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati dua daripadanya disahkan positif dadah ketamin dan empat lagi negatif.

“Manakala hasil semakan lanjut ke atas mereka lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Kesemua suspek itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama lima hari sehingga Jumaat ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan polis juga menyita sebuah kenderaan jenis Honda Accord dan sebuah kereta Perodua Myvi yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah dadah itu.

Katanya, dengan tangkapan sindiket itu, polis yakin berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang aktif sejak sebulan lalu di sekitar Lembah Klang.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 61,960 orang pengguna dadah,” tegas beliau.-MalaysiaGazette