Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja yang akan dilantik sebagai perdana menteri mesti menerajui politik baharu di Malaysia.

Dalam keadaan dan semangat itu, perdana menteri bukan sahaja menjadi mereka yang merentas parti politik tetapi menerajui kerajaan yang tidak mewakili mana-mana parti.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad Murad Merican yang melontarkan cadangan itu berkata, ini bermakna tiada parti kerajaan dan tidak ada parti pembangkang.

Ia juga mengambil kira Perlembagaan Persekutuan yang tidak menyebut perdana menteri perlu seorang daripada parti politik dan siapa parti politik tersebut tetapi perlu mendapat sokongan daripada Ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu, untuk jangka masa tertentu ini, beliau berkata, perdana menteri mesti melepaskan jawatan dalam parti malah semua yang akan dilantik menganggotai Kabinet juga perlu melepaskan jawatan masing-masing.

Ini kerana, beliau bimbang kemelut politik yang berpanjangan melanda negara ini tidak akan selesai selagi parti politik menganggotai kerajaan.

Jika perlu, katanya, perdana menteri boleh melantik mana-mana penjawat awam yang dipercayai boleh memulihkan semula negara untuk menggepalai barisan Kabinet.

“Ini juga bukan baharu kerana pernah penjawat awam memimpin kementerian sebelum ini dan terbukti tidak ada masalah berbanding pelantikan politik yang akan menimbulkan banyak politiking.

“Kita tidak mahu lagi berlaku senario lompat parti, dendam kesumat dalam kalangan pemimpin kerajaan disebabkan parti politik.

“Kemelut politik yang berpanjangan hingga menyusahkan rakyat perlu dihentikan,” teghas beliau.

Oleh itu, pasukan Kabinet baharu nanti hendaklah bersih daripada ideologi parti politik supaya budaya amalan politik kepartian akan berterusan.

Bagi beliau, cadangan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan parti-parti politik membina politik baharu.

Beliau percaya jika cadangan itu dilaksanakan, pemulihan negara akan berjalan lancar seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh Tun Abdul Razak ketika memimpin Majlis Gerakan Negara.

“Ini adalah peluang kepada perdana menteri baharu untuk reset semula pembaharuan, dalam negara sebelum PRU15. Dia boleh melakukannya dengan syarat beliau kena berani,” ujarnya.

Lagipun, menurut Ahmad Murad, sudah sampai masanya reformasi politik dilaksanakan di Malaysia, sejajar dengan keperluan anjakan paradigma dengan budaya dan situasi semasa. – MalaysiaGazette