MADRID – Penyerang Perancis, Karim Benzema terus kekal bersama Real Madrid selepas menandatangani perjanjian baharu dengan kelab La Liga Sepanyol itu sehingga 2023.
Majlis menandatangani kontrak itu disiarkan di laman Facebook Real Madrid hari ini.
Menerusi video yang disiarkan menyaksikan Benzema bergambar dengan Presiden Real, Florentino Perez dengan mereka memegang jersi yang tertera nama Benzema dan nombor 2023.
“Saya kekal berada di kelab terhebat di dunia dan ia satu penghormatan yang besar berada di sini,” katanya.
Penyerang serba boleh berusia 33 tahun itu menyertai Real pada tahun 2009 dari Lyon.
Dia beraksi sebanyak 560 perlawanan yang mengagumkan untuk kelab dengan 194 jaringan.
Dia kini berada dalam musim ke-13 dan diundi sebagai pemain terbaik La Liga musim lalu. – MalaysiaGazette