Suasana suram di sebuah kedai makan berikutan orang ramai masih mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan Covid-19 biarpun kerajaan membenarkan aktiviti dine-in di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mereka yang telah menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 ketika Tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Suasana gerai-gerai makan di sekitar ibu negara suram dan masih kurang mendapat sambutan pada hari pertama aktiviti makan di restoran (dine-in) dibenarkan bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kampung Baru mendapati hanya beberapa kedai makan sahaja membenarkan pelanggan yang sudah lengkap vaksinasi menjamu selera di dalam premis manakala selebihnya masih mengekalkan konsep bungkus dan bawa pulang.

Beberapa restoran nasi kandar terkenal di sekitar Chow Kit juga dilihat masih tidak membenarkan aktiviti dine-in untuk pelanggan.

Suasana suram di sebuah kedai makan berikutan orang ramai masih mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan Covid-19 biarpun kerajaan membenarkan aktiviti dine-in di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mereka yang telah menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 ketika Tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2021.

MalaysiaGazette mendapati rangkaian makanan segera terkenal turut mengambil langkah serupa tanpa membenarkan pelanggan berada di dalam premis.

Bagi pemilik Warung An Nur, Razali Amat berkata, dia memilih untuk mengekalkan konsep bungkus dan bawa pulang dalam kalangan pelanggannya walaupun kerajaan sudah memberikan kelonggaran bagi aktiviti dine-in bermula hari ini.

Pemilik warung, Razali Amat.

“Kita masih tak membenarkan pelanggan makan di kedai kerana kebanyakan pekerja saya baru menerima satu dos vaksin.

“Vaksin AstraZeneca kena tunggu dalam sembilan minggu barulah dapat dos kedua. Jadi saya ambil keputusan paling cepat pun mungkin akhir September nanti baru boleh benarkan mereka dine-in,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Razali yang sudah lebih 25 tahun mengusahakan perniagaan nasi campur, dia juga masih khuatir dengan situasi semasa Covid-19 yang dilihat semakin melonjak sejak akhir-akhir ini.

Katanya, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi namun rakyat masih perlu berhati-hati dan tidak mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita memang alu-alukan kelonggaran dine-in tetapi keadaan ketika ini masih tidak mengizinkan lagi kerana sebahagian pekerja masih belum lengkap dua dos dan mungkin kami tunggu keadaan baik sedikit baru lah benarkan orang makan di kedai,” ujarnya.

Seorang pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada pekerja sebelum memasuki sebuah kedai makan selepas kerajaan membenarkan aktiviti dine-in di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mereka yang telah menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 ketika Tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2021.

Media semalam melaporkan aktiviti dine-in atau makan di restoran dibenarkan kepada individu yang lengkap divaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa hari ini.

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tambahan itu antara yang diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, kemudahan tambahan lain bagi negeri Fasa 1 dan seterusnya, termasuk aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Polis kena pastikan pekerja kedai makan sudah di vaksin 2 dos. Apa guna pelangan ada 2 dos kalau pekeja tiada suntikan pun.Rakyat tidak mahu kluster sivaganga berulang kembali.

Comments are closed.