Datuk Haslina Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Hanya 15 peratus daripada 14.6 juta belia di negara ini terlibat dalam bidang pertanian.

Malah, kajian turut menunjukkan hanya empat peratus dalam kalangan pelajar di universiti akan mempertimbangkan kerjaya dalam bidang itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Kesemua data itu menurutnya, menunjukkan bahawa persepsi para belia kepada sektor pertanian perlu diperbaiki lagi.

“Disebabkan itu, kementerian ini perlu mengambil langkah sewajarnya bagi meremajakan sektor pertanian.

“Bagi merealisasikan perkara ini, kementerian akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dalam masa terdekat.

“Dasar ini merupakan dasar jangka masa panjang bagi tempoh 2021 hingga 2030 yang akan menjadi panduan kepada rangka kerja di kementerian dan pelaksanaan di peringkat jabatan dan agensi,” katanya ketika berucap merasmikanProgram Empowerment @Agropreneur Muda 2021 secara maya hari ini.

Haslina berkata, Program Agropreneur Muda merupakan program khas di bawah MAFI yang khusus untuk menggalakkan penglibatan golongan muda berumur 18 hingga 40 tahun dalam bidang pertanian.

Katanya, program itu merangkumi semua rantaian nilai dalam sektor pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan industri makanan.

Sehingga kini kata beliau, MAFI telah membantu 7,406 orang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM131.8 juta melalui bantuan geran.

Tambahnya, pada tahun lepas, MAFI telah berjaya meningkatkan penglibatan golongan muda apabila seramai 1,149 orang menerima bantuan geran bernilai RM21.7 juta berbanding 750 orang pada 2019 dan 785 orang pada tahun 2018.

Peningkatan itu katanya adalah disebabkan penambahbaikan yang telah dijalankan oleh pihak kementerian antaranya membuka permohonan geran sepanjang tahun tanpa
tarikh tutup, mengurangkan birokrasi dalam rantaian permohonan dan meningkatkan promosi melalui media arus perdana dan media sosial. – MalaysiaGazette