PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini menafikan pihaknya telah menetapkan harga lantai antara RM8,000 hingga RM9,000 bagi pakej umrah.
Menerusi satu kenyataan, MOTAC berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kementerian telah menetapkan harga lantai bagi pakej umrah pada harga berkenaan adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai.
“Kementerian menafikan sebarang bentuk pengumuman berkaitan harga indikator baharu pakej umrah atau ziarah. Untuk makluman, harga indikator yang pernah ditetapkan pada tahun 2016 sepertimana yang telah dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah pada ketika itu adalah pada kadar RM4,900,” katanya.
MOTAC berkata pihaknya sedang mengkaji faktor-faktor kenaikan kos susulan langkah-langkah kawalan pandemik COVID-19 yang dikenakan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
“Kementerian menyeru semua pihak menghentikan cubaan memanipulasi pasaran khususnya melibatkan harga perkhidmatan pakej umrah atau ziarah,” kata MOTAC yang menasihatkan orang ramai berwaspada dengan tawaran pakej umrah yang meragukan pada masa ini.
Kelonggaran itu diberikan sebagai persediaan awal ke arah pembukaan sempadan yang disasarkan pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bagi membolehkan penggiat industri menilai serta bersedia dengan bilangan jemaah umrah yang berminat mengerjakan ibadah umrah dalam masa terdekat.
Parameter yang ditetapkan bagi kelulusan fasa interim itu antaranya membenarkan aktiviti promosi tanpa bayaran serta tidak mengikat mana-mana pihak sehingga kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan dan proses-proses perjalanan pelaksanaan ibadah umrah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia.
“Kementerian berpandangan bahawa kutipan apa juga bentuk bayaran untuk perkhidmatan pakej umrah atau ziarah pada masa ini adalah tidak wajar kerana wujud ketidaktentuan penyampaian khususnya tempoh perjalanan dan perkhidmatan sebenar yang akan diterima oleh jemaah,” katanya.
MOTAC berkata ia dalam proses untuk menyediakan garis panduan khusus bagi mengawalselia iklan dan pakej-pakej umrah yang akan ditawarkan kepada orang awam bagi melindungi kepentingan awam dan mematuhi kehendak Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
Kementerian mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam proses konsultasi awam secara atas talian berkaitan draf Garis Panduan Kelulusan Iklan Pakej Umrah atau Ziarah di platform Unified Public Consultation di www.upc.mpc.gov.my. bagi memastikan promosi-promosi syarikat tidak berunsurkan penipuan dan memperdaya orang ramai.
Proses permohonan boleh dibuat ke emel [email protected] berdasarkan syarat-syarat dan paramater yang ditetapkan.
— BERNAMA