Sebanyak 12 kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan semalam.- Gambar hiasan.

PANDEMIK COVID-19 sudah bersama-sama kita hampir mencecah 2 tahun menjelang akhir tahun 2021 ini. Virus yang bermula di Wuhan China, pada Disember tahun 2019, kini menjadi pandemik di seluruh pelusuk dunia. Pelbagai cara diusahakan oleh semua pihak demi menjaga menanggulangi wabak demi keselamatan semua, mulai dari kempen kesihatan, perintah kawalan pergerakan juga program vaksinasi nasional.

Status terbaru situasi pandemik di negara kita, peningkatan drastik kes-kes COVID-19 amatlah mengusarkan semua lapisan masyarakat. Identifikasi kes penularan dari kluster-kluster baru, juga peningkatan penularan kes sporadik yang terus membimbangkan di kalangan komuniti. Tidak dinafikan, jangkitan virus ini boleh memberikan dampak dan implikasi yang buruk kepada kehidupan masyarakat terutama kualiti hidup (jasmani, rohani dan emosi) serta kesinambungan ekonomi. Kerjasama dan tanggungjawab kendiri setiap lapisan individu masyarakat, perlu terus dipupuk agar kesedaran akan kepentingan menjaga diri dan keluarga, diharapkan dapat mengelakkan jangkitan COVID-19 ini agar tidak terus menular.

Laporan rasmi dari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia paing mutakhir bertarikh 8 Ogos lalu, membuktikan bahawa COVID-19 adalah satu pandemic global yang benar-benar berlaku. Angka kematian harian yang dilaporkan sebanyak 360 orang, di mana lelaki lebih banyak berbanding wanita, dengan majoriti mangsa kematian dari jangkitan covid ini merupakan individu-individu yang mempunyai penyakit sedia ada yang lain. Selain itu, sebanyak 275 orang menghembuskan nafas terakhir mereka di hospital, manakala selebihnya sudah tidak bernyawa tika dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Post Covid Syndrome merupakan sindrom dengan kumpulan gejala yang dialami dan dilaporkan oleh pesakit yang pernah dijangkiti COVID-19 (bekas para pejuang COVID-19). Biarpun fasa jangkitan telah berakhir dan pesakit diisytiharkan pulih, akan tetapi sekuele gejala -gejala berpanjangan masih dirasakan oleh mereka hasil dari jangkitan virus tersebut. Ini bertepatan dengan salah satu rekomendasi standard kesihatan England, iaitu NICE Guideline yang ada menetapkan bahawa, kebarangkalian gejala yang dialami oleh pesakit selama jangkitan COVID-19 akan kekal adalah tinggi. Keadaan ini dijangkakan boleh memakan masa selama sekurang-kurangnya 12 minggu atau malah lebih lama lagi.

Antara gejala-gejala berterusan yang termasuk di dalam sindrom ini adalah seperti lesu, letih dan kepenatan, lemah dan sengal seluruh badan, sakit pada bahagian sendi dan dada, gangguan kognitif seperti kegagalan tumpuan yang baik juga masalah memori, kehilangan deria bau atau rasa, juga gangguan tidur. Menurut kajian oleh Dr Sandeep Lahoti, pakar gastroenterologis di salah satu Klinik Pemulihan COVID-19 Houstan, gelaja-gejala ini berlanjutan untuk beberapa minggu hingga bulan, dan ada juga kes yang mengalami komplikasi akibat dari gejala-gejala ini. Beliau telah mendapati terdapat juga kes terpencil di mana pesakit mengalami komplikasi jantung, terbukti dengan dapatan keputusan imbasan MRI yang menunjukkan berlakunya radang selaput jantung (endocarditis).

Justeru, demi menanggapi penemuan ini, adalah disarankan ke atas para pejuang COVID-19 ini agar diberikan temujanji berkala, supaya pemantauan keadaan mereka dapat dilakukan dari masa ke semasa, bagi mengelak sebarang komplikasi berbahaya yang boleh mengancam nyawa. Penyebab berlakunya sindrom ini di kalangan para pejuang COVID-19 ini masih lagi belum dapat dipastikan. Biarpun demikian, hipotesis teori sains menyatakan bahawa apabila berlakunya jangkitan virus COVID-19, maka proses peradangan di tempat-tempat lain yang tersembunyi dan tidak diketahui juga mungkin boleh terjadi. Rentetan itu, maka pesakit akan cenderung mengeluh kerana merasakan kesakitan akibat proses peradangan tersebut bergantung kepada tempat di mana ia berlaku.

Proses peradangan yang berlaku adalah respons tubuh badan terhadap perkara berbahaya seperti stres, pendedahan kepada bahan kimia beracun juga jangkitan dari virus dan bakteria, disebut Sistem Kekebalan Tubuh. Sistem kekebalan tubuh akan merespons dengan melepaskan melepaskan sel darah putih dan senyawa kimia lainnya ke dalam darah untuk melindungi sel dan jaringan tubuh yang terancam. Proses ini akan meningkatkan aliran darah sehingga bahagian yang terkena jangkitan terasa hangat dan kemerahan.

Zat kimia yang dilepaskan oleh sistem imun juga mengakibatkan kebocoran cairan ke dalam jaringan sehingga bahagian tersebut membengkak. Selain itu, zat kimia akan meransang saraf hingga mengakibatkan kesakitan. Peradangan yang berlanjutan lama akan merugikan kerana dapat merosakkan bahagian tubuh lain yang sihat. Keadaan peradangan ini jika berlanjutan dalam tempoh masa yang lama, dilihat akan amat menyulitkan serta berakibat buruk terutama terhadap kualiti hidup para pejuang
COVID-19.

Selain itu, keadaan ini dilihat boleh menjadi fenomena vicious cycle yang mendedahkan mereka kepada gangguan kesihatan mental seperti stres, kemurungan dan gejala panik atau anxieti yang teruk. Gejala gangguan kesihatan mental yang tidak diurus dengan baik, akan berlanjutan menjadi parah, yang dikhuatiri akan berakibat buruk sehingga memakan diri sendiri terutama ke arah komplikasi bunuh diri. Terdapat segelintir kajian kecil yang menunjukkan golongan manakah yang mungkin lebih cenderung terdedah kepada sindrom ini. Terdapat variasi peratus dari pelbagai kajian berkenaan golongan yang berisiko, yang menjangkakan hanya 10% sahaja yang akan mengalami sindrom ini, tetapi ada laporan kajian lain dengan peratusan yang lebih tinggi sehingga 70%.

Terdapat saranan berguna juga dari kajian terdahulu, bahawa terdapat golongan yang berisiko lebih tinggi berbanding yang lain, untuk berkemungkinan mengalami sindrom ini selepas pulih dari jangkitan COVID-19. Mereka adalah ; warga emas berusia 50
tahun ke atas, para pejuang COVID-19 yang mengalami gelaja lebih teruk semasa masih di dalam fasa jangkitan, juga individu yang mempunyai masalah kondisi kesihatan yang sedia ada seperti masalah jantung, darah tinggi atau gejala obesiti. Oleh kerana gejala sindrom ini adalah unik dan pelbagai, ditambah pula sindrom ini masih baru dan sedang terus dalam penelitian, jadi langkah mengatasinya amat penting.

Jadi, pemantauan kendiri amat penting bagi semua, jika gejala-gejala yang dialami berterusan perlu mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Gejala-gejala yang ringan tidak boleh diambil enteng kerana dikhawatiri akan berubah menjadi gejala lebih teruk yang boleh mengancam nyawa. Semua disiplin perubatan perlu bekerjasama untuk memastikan pejuang COVID-19 yang mempunyai sindrom ini dapat dirawat sebaik mungkin, mengikuti kepakaran masing-masing. Selain itu, kajian lebih lanjut perlu terus dilaksanakan bagi mendapatkan lebih data tentang masalah dan cara mengatasi sindrom ini dengan lebih berkesan.

Pengendalian kendiri, masih perlu dilaksanakan bagi setiap individu. Inilah tanggungjawab kita kepada diri, bangsa dan negara bagi membanteras dan menamatkan penularan jangkitan virus COVID-19 ini. Langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia perlu terus dilaksanakan dan dipatuhi, seperti penjarakan social dan fizikal, pemakaian pelitup muka, mengelakkan tempat sesak, sempit dan terkurung juga kerap membasuh tangan. Dengan pengetahuan yang lebih menyeluruh, berkenaan jangkitan virus juga komplikasi semasa dan setelah jangkitan, langkah berjaga- jaga dari segenap lapisan masyakarat ini akan diharapkan dapat mencegah sesuatu yang buruk terjadi kepada mana-mana indiividu. Jika terdapat masalah yang dikenalpasti, panduan dan pertolongan dari pakar amat digalakkan, demi membantu mencari jalan keluar yang terbaik buat semua. Didoakan negara kita dapat bebas dari belenggu COVID-19 ini, biarpun gelombangnya belum lagi berkesudahan.

Oleh: Dr Nathratul Ayeshah Zulkifli,
Pensyarah Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast