IMBAS SEMULA.Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (tengah) bersama penguam dan isterinya Gobind Singh Deo (kiri) Betty Chew (kanan) berjalan keluar selepas perbicaraan kes rasuah yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 20 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu penglibatan wakil seramai tiga orang dari Beijing Urban Construction Group (BUCG) dalam tiga mesyuarat awal Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan projek mega terowong dasar laut negeri itu telah menimbulkan konflik.

Itu diakui oleh saksi pendakwaan keempat kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada prosiding hari ini.

Saksi itu, Muhamad Azrai Mohamad Zaini berkata, sebenarnya kehadiran BUGC lebih awal ke mesyuarat-mesyuarat itu telah menimbulkan konflik kepentingan dengan syarikat-syarikat pembida lain.

Beliau mendedahkan, kehadiran mereka dalam mesyuarat pada 2011 itu memberikan kelebihan kepada syarikat dari China itu mengetahui lebih awal setiap butiran dalam Request For Proposal (RFP).

Selepas RFP, katanya, barulah dokumen tersebut akan diiklankan oleh kerajaan negeri.

Muhamad Azrai yang merupakan bekas Penolong Pengarah Kanan (Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang berkata, butiran tersebut termasuk skop kerja setiap projek, anggaran kos, kelayakan yang ditetapkan terhadap pembida tender.

“Juga syarat-syarat teknikal dan kewangan serta pulangan kepada pembida dalam pelaksanaan projek,” katanya dalam keterangan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung DAP didakwa terhadap tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Kata Muhamad Azrai yang kini berjawatan Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, projek itu telah diputuskan untuk ditawarkan sebagai tender terbuka.

“Pada pendapat saya BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen RFP.

“BUCG tidak wajar terlibat pada peringkat awal penyediaan RFP sebelum tender terbuka diiklankan kerana ia mendapat kelebihan berbanding dengan syarikat-syarikat lain yang turut berminat menyertai tender terbuka,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian menyoal mengapa beliau tidak memaklumkan kepada pegawai-pegawai atasannya berhubung penglibatan awal BUCG dalam penyediaan RFP itu.

Bagaimanapun saksi memberikan alasan beliau masih baru ketika itu dan tidak berpengalaman.

Prosiding hari ini kemudian ditangguhkan sehingga 10 September depan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Bagi tuduhan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan selaku Ketua Menteri, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun.

Juga tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini.

Beliau didakwa mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Setiausaha Agung DAP itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut.

Tuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Beliau juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda. -MalaysiaGazette