JOHOR BAHRU – Masjid bukan sahaja tempat melakukan ibadah malah ia menjadi medium tempat menyatupadukan rakyat serta menaikkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan ke-64 pada tahun ini.
Ini dibuktikan jawatankuasa Masjid Jamek Jalil Hassan Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang Johor yang memasang jalur gemilang di sekeliling masjid berkenaan bagi memeriahkannya.
Bekas pengerusi masjid tersebut, Bachok Nohong berkata, kerja memasang jalur gemilang itu dilakukan sendiri ahli jawatankuasa sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, jalur gemilang yang dipasang akan dikibarkan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.
Beliau berkata, meskipun negara berdepan pandemik Covid-19, namun semangat cintakan negara tidak pernah luntur.
Kata Bachok, bagaimanapun penglibatan ahli jawatankuasa yang memasang bendera pada kali ini tidak melibatkan ahli yang ramai bagi memastikan mereka tidak melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sebagaimana tahun-tahun lepas kita masih tetap jalankan sambutan merdeka.
“Walaubagaimanapun pada kali ini, pada tahun ini berdepan Covid-19 kita hanya mengadakan sambutan sederhana meletakkan jalur gemilang keliling masjid.
“Walaupun hari ini atau cuaca agak kurang elok pada hari ini, kami jemaah tetap memasang jalur gemilang di kawasan masjid dengan kengikut SOP,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Jalil Hassan, Arbaain Karsimin memberitahu, walaupun sambutan kali ini tidak semeriah tahun lepas dengan penglibatan ahli yang ramai namun kibaran jalur gemilang tetap dilakukan sebagai tanda kedaulatan kepada negara tercinta.
“Kita setiap tahun menyambut walaupun tiada apa-apa dan musim pandemik Covid-19, walaupun kita akan teruskan kemeriahan menyambut hari kemerdekaan yang ke-64 tahun negara kita Malaysia.
“Dengan kita masih tetap menjaga SOP dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kita masih teruskan dengan cara biasa sebagai tanda semangat Merdeka,” katanya.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa masjid berkenaan bercadang melakukan solat hajat bagi memohon doa untuk keamanan negara, khususnya untuk rakyat di negeri itu. – MalaysiaGazette