Peniaga menonton siaran langsung ucapan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui televisyen ketika di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Setiap Perdana Menteri sudah pasti mempunyai identitinya tersendiri termasuk Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

Menerusi ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini dikatakan bersifat lebih inklusif.

“Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum. Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata, sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum, ia diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua.

“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah, jelasnya.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri berkata, beliau sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.

Ismail Sabri turut menyeru seluruh Ahli Dewan Rakyat, tidak mengira dalam atau luar kerajaan, supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Beri visas kepada kaum-kaum asing cukuplah. Yang peliknya talibarut tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989 pun dapat kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini kononnya macam adik-beradik pulak dah.

Comments are closed.