Selangor masih menjadi pilihan para pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan moden.- Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Selangor masih menjadi pilihan para pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan berikutan kemudahan prasarana yang lengkap dan moden.

Ia juga disebabkan dasar-dasar kerajaan yang memudah cara persekitaran perniagaan, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, kelebihan daya saing itu telah menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi 2020 merekodkan pencapaian cemerlang dengan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia RM18.43 bilion.

“Dari jumlah ini, sebanyak RM6.95 bilion atau 37.7 peratus daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 11.48 bilion atau 62.3 peratus daripada pelaburan asing.

“Pelabur daripada Jepun masih merupakan pelabur utama, diikuti pelabur daripada Netherlands dan China,” titahnya ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, di sebalik pandemik, sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan hasil daripada projek-projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

“Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di Selangor dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 billion.

“Ini diikuti Daerah Kuala Langat melebihi RM5.785 billion dan Daerah Klang melebihi RM3.477 billion. Nilai pelaburan yang direkodkan ini melepasi nilai pelaburan yang disasarkan bagi tahun 2020 iaitu sebanyak RM12 bilion.

“Bagi tahun 2021 pula, sasaran pelaburan yang ditetapkan kekal sebanyak RM12 bilion.

“Pengekalan sasaran pelaburan yang ditetapkan ini berdasarkan jangkaan berlakunya pengurangan dalam aktiviti pelaburan disebabkan penularan wabak Covid 19 dan proses pemulihan ekonomi yang dihadapi seluruh negara ketika ini,” titah baginda.

Walaupun Selangor masih lagi menjadi tumpuan para pelabur tidak dapat dinafikan pelaksanaan PKP telah menyebabkan penutupan premis perniagaan yang menyebabkan rakyat kehilangan sumber pekerjaan dan pendapatan.

“Keadaan ini telah menyebabkan peningkatan kepada kadar pengangguran negara. Pada 2020, pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 4.9 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2019.

“Selepas sedikit pertumbuhan pada awal tahun ini, baru-baru ini kadar pengangguran telah meningkat semula kepada 4.8 peratus selepas 40,600 pekerja hilang pekerjaan pada Jun 2021,” titah baginda.

Menurut Sultan Selangor, penularan pandemik Covid-19 telah memaksa rakyat menggunakan teknologi dan kemudahan dalam talian sebagai sebahagian daripada kehidupan seperti membeli barangan, menghadiri kelas, bermesyuarat, menguruskan bencana dan aktiviti seharian lain.

“Ini menunjukkan bahawa kita sedang bergerak ke arah satu kehidupan serba digital dan Selangor akan terus menyediakan infrastruktur bermutu dan berkelajuan tinggi serta khidmat penyambungan digital yang cekap dan selamat,” titahnya Baginda lagi. – MalaysiaGazette