KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengesahkan sebanyak 31,792,363 dos suntikan vaksin Covid-19 sudah diagihkan kepada populasi penduduk Malaysia.
Menurut infografik dikongsikan oleh JKJAV menerusi akaun Twitternya, dengan pemberian berkenaan bermakna secara keseluruhannya, 78.9 peratus atau kira-kira 18.47 juta penduduk dewasa negara ini sudah menerima satu dos vaksin.
Pada masa sama, JKJAV berkata 56.9 peratus penduduk dewasa, atau 13.31 juta individu, sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
Katanya jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 23 Ogos adalah 396,578 dos.
“Daripada jumlah itu, 150,469 adalah penerima dos pertama manakala 246,109 penerima dos kedua.
“Johor merekodkan jumlah harian pemberian vaksin tertinggi dengan 32,989 dos pertama dan 38,045 dos kedua.
“Ini diikuti Sabah dengan 17,076 dos pertama dan 28,933 dos kedua,” kata JKJAV menerusi akaun Twitternya hari ini. – MalaysiaGazette