Kobe Chong.

KUALA LUMPUR – Pemain muda negara, Kobe Chong telah mendapat kontrak profesional pertama apabila dia menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan, Peterborough United.

Berita dikongsikan oleh ejen Kobe iaitu Rock Sport Management.

Kobe dilihat mengambil gambar bersama jersi Peterborough di tempat latihan kelab tersebut.

Menurut perkongsian Harimau Abroad, tinjauan di laman Transfermarkt menunjukkan Kobe menandatangani kontrak selama setahun yang akan tamat pada 30 Jun 2022.
Dia mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak selama setahun lagi sekiranya menampilkan prestasi terbaik.
Pemain berusia 20 tahun itu sebelum ini menyertai sesi percubaan bersama beberapa kelab seperti Brentford dan hampir menyertai kelab yang baru dipromosikan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Namun atas beberapa sebab, perjanjian antara kedua pihak tidak dapat diselesaikan sekaligus memaksa Kobe untuk menyertai sesi ujian bersama kelab lain.

Sementara itu, tidak dapat dipastikan sama ada Kobe akan beraksi bersama skuad B-23 tahun atau pun bersama pasukan senior kelab iti.

Namun kemungkinan besar pemain itu akan diletakkan dalam skuad pembangunan memandangkan Kobe pernah beraksi bersama West Bromwich Albion dan Cagliari.

Kobe sebelum ini sedia untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya kerana dia mempunyai pilihan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan melalui ibunya yang berasal dari Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast