KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah sebak di Mahkamah Sesyen 4, di sini hari ini selepas didenda RM10,000 atas kesalahan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menteri dan institusi raja tiga bulan lalu.
Tertuduh, Nur Faizah Wahid, 28, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim, M M Edwin Paramjothy.
Dalam pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 manakala pertuduhan kedua RM8,000 ke atas wanita itu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes pertuduhan pertama, wanita itu didapati mengeluarkan kenyataan melalui aplikasi Twitter di laman profil Eija Boo menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sini pada jam 8.33 malam pukul 22 Mei lalu lalu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan aplikasi sama.
Status jelik itu telah dibaca pada jam 8 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, JSJK Bukit Aman pada 10 Jun 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50, 000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan pendakwaan kes berkenaan, Noor Dayana Mohamad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran bagi menyedarkan orang awam.
“Satu hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja untuk tertuduh malah masyarakat lain juga perlu yang mana mereka boleh sedar bahawa menghina institusi raja adalah satu kesalahan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berpakaian jubah dan tudung hitam merayu mahkamah agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatannya.
“Sekarang saya tak kerja dan hanya bergantung pada pendapatan suami, saya mengaku salah, menyesal dan insaf. Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut,” akuinya.
Manakala seorang pengawal keselamatan, Shahrir Mohamad , 38, pula mengaku tidak bersalah di hadapan Edwin atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi jelik, empat bulan lalu dalam kes sama.
Mengikut fakta pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Twitter menggunakan laman profil Sharil bin Mohd Sarif pada pukul 7.43 pagi, 20 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM 50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Noor Dayana mencadangkan tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh tidak diwakili peguam, tidak merayu mengurangkan kadar jaminan memandangkan tiada waris hadir untuk menjaminnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan kes.- MalaysiaGazette