Asyraf Wajdi Dusuki Petronas
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan isu kelewatan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang sepatutnya dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 16 Ogos lalu akan diberi perhatian sewajarnya dalam masa terdekat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri kepada beliau selepas menyampaikan 10 tuntutan dan rintihan rakyat yang terjejas dan terdesak akibat pandemik Covid-19 malam semalam.

“Saya sudah sampaikan rintihan rakyat yang rata-rata amat tertekan dan terdesak ketika ini kepada Perdana Menteri malam tadi terutamanya berkenaan dengan isu kelewatan BKC yang sepatutnya sudah mula dikreditkan ke akaun penerima pada bulan Ogos.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri jawab dengan positif dan memberi jaminan akan segera menghubungi Kementerian Kewangan untuk diambil tindakan segera.

“InsyaAllah sembilan lagi Tuntutan Rakyat yang lain akan saya perjelaskan secara terperinci sekali lagi kepada Perdana Menteri setelah dibentuk Kabinet,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Asyraf juga menegaskan, isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat dan dirumuskan oleh pihaknya sebelum ini dalam bentuk 10 Tuntutan Rakyat sebenarnya tidak sukar untuk direalisasikan.

“Dua daripadanya berkaitan dengan moratorium tanpa faedah terakru, hanya perlu diseragamkan kaedah penawaran dan metodologi pengiraan keuntungan dan faedah oleh bank-bank, dengan kawal selia Bank Negara Malaysia.

“Manakala cadangan pengeluaran i-Citra secara sekaligus dengan kadar minimum RM10,000 atau berkadaran dengan jumlah yang ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2, perlu dirundingi semula dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Menurut Asyraf, lapan tuntutan lain di bawah kuasa Kementerian Kewangan termasuklah tuntutan agar ditawarkan juga moratorium untuk peminjam LPPSA, tambahan bantuan-bantuan tunai lain melalui suntikan fiskal.

“Ini termasuk untuk peniaga kecil dan sederhana, penambahbaikan data pemohon di LHDN untuk tujuan pemberian bantuan, juga tuntutan agar dikurangkan karenah birokrasi ketika rakyat melalui proses rayuan dan lain-lain.

“Pemuda UMNO akan terus membuat tindakan susulan untuk follow-up dan follow-through sehinggalah segala tuntutan ini dapat dipenuhi bagi manfaat rakyat yang memang susah, gelisah dan tertekan dengan kesempitan dan kelangsungan hidup mereka ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Assalamualaikum wbt..Salam sejahtera dan selamat pagi.Disini saya mewakili seluruh rakyat Malaysia .kursusnye yg terjejas akibat wabak covid yg semakin meningkat ..Dan juga hilang pekerjaan..Tiada sumber lain …Disini Sya ingin membuat pertayaan beberapa perkara”
    1.. B40 untuk orang bujang…Orang bujang yg bermaksud .Belum berkahwin dan bagai mana orang bujang hidup keseorangan sedangkan. Umor dah 60 keatas..Tiada perkerjaan Hidup sendiri .Adakah diketogori orang bujang sedang kan umor dah usia (warga mas) Harap pihak LHDN pertimbangan masalah ini .Orang bujang dan warga mas

    2. Kami berharap bayaran BKC ( Bantuan Khas Covid) dan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat ) disegerakan dengan bayaran serentak…Awal bulan September 2021
    Sekian sahaja dari saya Mohd Rajab Mohd Zain dari Putrajaya.

Comments are closed.