Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Sempena pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini esok – golongan orang kelainan upaya (OKU)  dinasihatkan mendaftar lebih awal.

Ia perlu dilakukan oleh mereka dan penjaganya sebelum hadir ke  PPV bagi mengelak sebarang kesukaran.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, pendaftaran boleh dilakukan melalui borang Google OKU Sentral.

“Ianya perlu dibuat bagi mengelak bakal penerima vaksin datang secara jumpa terus  terutama dengan berjalan kaki yang mengundang bahaya kepada mereka.

“PPV ini akan dibuka pada esok dan ramai telah mengetahui tentang pembukaannya. Kami nasihatkan supaya mereka tidak terus datang begitu sahaja memandangkan PPV ini adalah secara pandu lalu.

“Sekiranya mereka berjalan kaki ke PPV, kita khuatir ia agak berbahaya,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bernama berkata demikian ketika diminta mengulas pembukaan PPV secara pandu lalu khas itu semasa mengadakan lawatan di kawasan berkenaan semalam.

Namun, menurutnya, jika ada antara mereka yang datang secara walk-in. pihaknya akan menyediakan bantuan kerusi roda dan mendaftarkan mereka bagi mendapatkan vaksin.

Menyentuh mengenai PPV pandu lalu OKU pertama di Sime Darby Plantation Ara Damansara yang mula dibuka pada 16 Jun lepas, Ras Adiba berkata, pihaknya menerima maklum balas yang baik terutama dari segi kemudahan dan layanan.

“Keunikan PPV pandu lalu ini adalah cara kami menyantuni mereka. Doktor, pembantu dan petugas-petugas lain termasuk sukarelawan telah diberikan penjelasan terlebih dahulu bagaimana mahu bercakap dalam menyantuni mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula berkata, jumlah sasaran vaksin adalah seramai 20,000 orang di mana ia melibatkan tujuh kategori OKU.

“Syukur, alhamdulillah atas titah Tunku Mahkota Johor, Southern Volunteers akan digerakkan sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu khas untuk golongan OKU dan penjaga mereka bermula esok.

“Doktor dan pasukan khas juga akan bertugas untuk membantu OKU di PPV di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin,” katanya.

On Hafiz memberitahu, program tersebut adalah hasil usaha sama dengan Ras Adiba, kerajaan Negeri Johor, MOSTI, KKM dan pelbagai pihak termasuklah GLC dan NGO.

“Semoga usaha ini akan membantu mereka yang kurang upaya untuk mendapatkan vaksinasi,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast