GEORGE TOWN – Puluhan penderma darah tampil selepas 30 minit Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Derma Darah Penang memaklumkan hanya satu pek darah saja diderma dalam program derma darah di Dewan Sri Pinang.
Pegawai Perhubungan Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (HPP), Mohamad Al Hakim Al Balkhis berkata, pihaknya memuat naik kenyataan itu sebagai hebahan di Facebook Derma Darah Penang bagi menggalakkan orang ramai tampil menderma darah susulan hanya satu pek darah saja diterima setelah hampir dua jam program itu berlangsung..
Jelas beliau, program derma darah yang dijalankan selama dua hari sejak semalam, bermula 9 pagi hingga 4 petang itu, hanya mampu mengumpul 12 pek darah pada hari pertama.
“Sasaran kita 30 pek darah sehari, jadi bila kita lihat hari ini hanya satu pek saja diderma membuatkan kita ambil pendekatan muat naik kenyataan di Facebook untuk menggalakkan orang ramai tampil menderma darah.
“Kita tidak sangka posting itu akan tular hingga membuatkan kami berjaya mengumpul 81 pek darah secara keseluruhan untuk hari ini sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Al Hakim berkata, kekangan akibat pandemik Covid-19 termasuk prosedur operasi standard (SOP) rentas daerah menyebabkan orang ramai sukar ke Tabung Darah atau hospital berhampiran bagi menderma darah.
Mohamad Al Hakim turut mengakui program berkenaan kurang mendapat sambutan berikutan kurang promosi di media sosial.
“Kesedaran orang ramai bagi menderma darah itu ada tetapi ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak dapat datang.
“Bagimanapun, kita harus pastikan stok darah sentiasa mencukupi memandangkan dalam tempoh sebulan, sebanyak 2,000 pek darah digunakan bagi merawat pesakit pelbagai kes di hospital negeri ini.
“Justeru, orang ramai diseru supaya menderma darah di pusat kesihatan atau hospital berhampiran bagi membantu pesakit yang memerlukan serta mengatasi kekurangan bekalan darah di Tabung Darah,” jelas beliau.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Muzaina Filza Rosli, 27, berkata, dia yang tinggal di Jalan SP Chelliah, di sini, bergegas untuk menderma darah sebaik melihat hebahan di laman Facebook KKM.
Jelasnya, ini merupakan kali ke-13 dia menderma darah dan kali terakhir pada Mei lalu.
“Saya kerap derma darah di hospital kerajaan sebelum ini tapi disebabkan kes Covid-19 kian meningkat menyebabkan saya takut untuk ke hospital.
“Bila lihat hebahan pihak tabung darah buat program di luar, tu saya datang selain rasa selamat ini juga salah satu cara kita berbakti pada negara,” kata Muzaina Filza.
Turut berkongsi pandangan sama, pasangan suami isteri, G. Gejhananan dan S. Shanmugapriyah yang masing-masing berusia 30 tahun itu berkata, mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin merentas daerah bagi menderma darah selepas melihat hebahan memerlukan darah tular di Instagram.
Gejhananan berkata, dia sudah enam kali menderma darah manakala isterinya pula baharu pertama kali.
“Biasanya saya menderma darah bersama bapa mentua namun dia tidak dapat hadir, jadi kali ini isteri mahu turut serta,” katanya sambil menegaskan kedua-dua mereka yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di syarikat swasta mengambil cuti separuh hari untuk menderma darah sebaik membaca hebahan itu. – MalaysiaGazette