Foto hiasan

KUALA TERENGGANU – Seramai 1,124 penduduk Pulau Perhentian menjalani ujian calitan COVID-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak Jumaat lepas susulan terdapat 75 kes positif di pulau peranginan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata proses ujian saringan yang melibatkan hampir 70 peratus penduduk itu dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

“Ujian calitan terpaksa dilakukan bagi mencegah penularan jangkitan kerana terdapat 75 kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk di Pulau Perhentian setakat ini. Sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas.

“Punca penularan COVID-19 bukanlah jangkitan daripada pelancong sebaliknya disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang-alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kesemua penduduk pulau itu yang positif COVID-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut.

Dr Kasemani berkata bagi penduduk yang disahkan kontak rapat pula telah diberikan arahan supaya kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia.

Seramai 979 penduduk dan penggiat industri pelancongan di Pulau Perhentian telah menerima suntikan vaksin dos pertama mereka pada 5 Ogos lepas melalui program outreach yang dilaksanakan JKNT.

— BERNAMA