Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Dakwaan puak Taliban terbabit dengan kegiatan penanaman dan pengedaran dadah di Afghanistan hanyalah mainan media barat bagi memburukan imej Islam di mata penduduk dunia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, media Barat sengaja menggunakan isu berkenaan bagi memburukkan Islam tanpa mengkaji ajaran Islam secara menyeluruh.

Katanya, penyebaran berita palsu yang mengatakan kononnya kumpulan Taliban berniaga dadah, suatu berita yang tidak masuk akal terhadap kumpulan yang keras berpegang dengan agama.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah kumpulan bukan Islam yang datang untuk berniaga dadah, lalu mereka memarahi Taliban kerana mengharamkannya dengan keras.

“Kini, setelah kumpulan Taliban sekali lagi berjaya mencipta sejarah di Afghanistan dengan mengalahkan tentera Amerika Syarikat yang akhirnya terpaksa berundur, tiba-tiba berlaku suatu perubahan dalam pendekatan mereka.

“Antaranya ialah mengisytiharkan pengampunan secara beramai-ramai terhadap kakitangan kerajaan yang sebelum ini berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat,” katanya menerusi kolum Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, mereka juga mengambil pendekatan meraikan kepelbagaian masyarakat di Afghanistan yang terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai qabilah, suku kaum, mazhab Sunni dan Syiah.

Ujarnya, biarpun mereka mempunyai majoriti kaum Pashtun beraliran Sunni yang bermazhab Hanafi namun perkara yang sangat menarik ialah mereka terus beristiqamah dan berjuang untuk menegakkan Islam.

“Kini wujudnya kepimpinan para ulama’ yang mendalami mazhab Hanafi dan perkembangan politik semasa, iaitu kalangan mereka yang memahami keadaan semasa.

“Mazhab Hanafi konsepnya sama sahaja dengan mazhab yang lain dalam Islam. Ia merupakan suatu mazhab yang bersikap tegas dalam perkara rukun iman dan Islam, iaitu dalam perkara yang dinamakan dengan ‘thawabit’ (aspek prinsip yang tetap).

“Adapun dalam perkara yang fleksibel atau anjal untuk berijtihad, ia dinamakan dengan perkara ‘mutaghayyirat’, aspek yang mengalami perubahan situasi dan realiti masyarakat,” tambahnya.

Katanya lagi, Islam membenarkan para ulama untuk berijtihad dalam konsep Islam adil terhadap semua dan tiada paksaan dalam beragama. – MalaysiaGazette