Gambar hiasan

KOTA BHARU- Hanya 30 orang atau 0.07 peratus daripada 44,003 responden, yang terlibat dalam kajian tahap kesihatan mental rakyat negeri ini dalam tempoh pandemik COVID-19, perlu dirujuk kepada pakar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, pengurusan kesihatan mental yang dilaksanakan itu melibatkan tiga kategori iaitu pesakit COVID-19, kontak rapat pesakit, dan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, pengurusan kesihatan mental semasa pandemik itu, diselaraskan melalui Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental Dan Psikososial (MHPSS), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

“Sepanjang pandemik COVID-19 yang bermula Mac 2020 sehingga 31 Julai 2021 lalu, seramai 44,003 tele-Psikososial telah dilakukan.

“Daripada jumlah ini hanya 30 atau 0.07 peratus sahaja yang memerlukan rujukan kepada pakar psikitri dan tiada kes bunuh diri dilaporkan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dr Izani (PAS-Kijang) berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang ingin tahu perkembangan  tahap kesihatan mental rakyat negeri Kelantan sejak bermula pandemik COVID-19 sehingga ke hari ini. – MalaysiaGazette