Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim (tengah) bersama pegawainya menunjuk barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai semasa serbuan di Shah Alam dan Klang semalam dengan nilai rampasan berjumlah RM23,772,022.97 di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2021.

KAJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan dua sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai menerusi Op Kontraban di Shah Alam Klang semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 35 tahun ditahan menerusi serbuan pertama yang dijalankan sepasukan anggota dari Batalion 4 PGA Semenyih di Jalan Tamborin, Seksyen 33, Shah Alam pada pukul 6 pagi.

Menurut beliau, susulan tangkapan pertama, polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi warga tempatan berusia 34 tahun ketika menyerbu sebuah premis di Kapar, Klang Utara sekitar pukul 8.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama, kita berjaya merampas 87,150 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam dua buah lori kontena yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM20 juta.

“Manakala di lokasi kedua, sebanyak 1,295 kotak arak tidak bercukai dirampas dengan nilai anggaran RM3.4 juta,” katanya menerusi sidang media di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih di sini hari ini.

Antara barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai semasa serbuan di Shah Alam dan Klang semalam dengan nilai rampasan berjumlah RM23,772,022.97 di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2021.

Tambah Zainal Abidin, selain rokok dan arak tidak bercukai, PGA turut merampas dua buah lori, sebuah kontena dan tiga buah telefon bimbit dalam serbuan tersebut.

Katanya lagi, rampasan itu merupakan rekod terbesar Briged Tengah PGA bagi tahun ini dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM23.77 juta.

Antara barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai semasa serbuan di Shah Alam dan Klang semalam dengan nilai rampasan berjumlah RM23,772,022.97 di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2021.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan terbabit dipercayai bertindak sebagai ‘freelance transporter’ yang dibayar berdasarkan lokasi penghantaran.

“Mereka ini mendakwa tidak mengenali dalang sindiket berkenaan, selain tidak mengetahui kandungan di dalam kontena tersebut.

“Individu ini juga mendakwa mereka dibayar sekitar RM100 bagi penghantaran sekitar Lembah Klang, manakala bagi penghantaran di kawasan lain mereka terima bayaran di antara RM200 hingga RM300.

“Kita percaya tangkapan dan rampasan ini membantu dalam melumpuhkan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai kepada peruncit-peruncit di negeri Selangor, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur,” ujarnya.

Jelas beliau, tangkapan dan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan IPD Klang Utara bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, ketika ditanya berkaitan dengan dalang sindiket, Zainal Abidin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan penjawat awam.

“Kita tidak tolak kemungkinan adanya penglibatan penjawat awam yang memantau kawasan pelabuhan dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan ini, iaitu bagaimana kontena-kontena itu boleh lolos di pelabuhan.

“Kegiatan jenayah penyeludupan terutamanya rokok dan minuman keras ini mengancam ekonomi negara sehingga kerajaan mengalami kerugian kutipan cukai antara RM5 hingga RM6 bilion setahun,” katanya. – MalaysiaGazette