Stuart Ramalingam.

KELANA JAYA – Stuart Ramalingam tidak melihat struktur organisasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai masalah untuk menerapkan segala idea dan pengalaman beliau yang didukung dari Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM).

Katanya, seluruh struktur organisasi MFL tidak berubah kecuali pelantikan beliau seorang sebagai CEO yang sebenarnya dijangka memudahkan tugasnya berkongsi idea untuk mendukung pelan pembangunan dan perubahan yang diinginkan secara bersama.

“Saya tak fikir struktur organisasi MFL sedia ada sebagai masalah kepada saya selaku CEO baharu untuk memulakan tugas untuk memberi idea dan segala pengalaman yang dipelajari di FAM.

“Saya menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM selama tiga tahun dan ia sangat mencabar sehingga setahun setengah yang terakhirnya mengharungi Covid-19 namun dapat menguruskannya dengan baik.

“Saya tak boleh jadi CEO MFL hari ini jika saya tak laksanakan tugas dengan baik dalam FAM.

“Saya yakin sebagai CEO baharu boleh bekerjasama dengan organisasi dan kakitangan MFL untuk mencapai visi dan misi yang digariskan MFL secara bersama,” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Google meet bersama pemberita sukan pagi ini.

Tambah Stuart, beliau sentiasa memahami budaya kerja pihak organisasi tertinggi MFL dan yakin boleh berhubung dengan baik selepas ini.

Stuart juga percaya keseluruhan Lembaga Pengarah MFL mempunyai kepentingan dan peranan sukan yang terbaik serta profesional untuk memajukan semua kelab-kelab bola sepak di bawah naungan mereka.

Beliau juga tidak pasti siapa sebenarnya yang mencadangkan namanya untuk diangkat sebagai CEO MFL namun beliau menganggap tugas itu sebagai cabaran dan tanggungjawab besar.

Namun katanya, beliau menerima dengan hati terbuka cabaran itu untuk memastikan segala penambahbaikan dan kemajuan yang diperlukan MFL akan dilaksanakan sebaik-baiknya menggunakan ilmu dan pengalamannya yang digapai dari FAM.

“Saya mengambil lantikan ini sebagai cabaran kerana mereka mahu MFL menyediakan satu industri profesional yang stabil dan terbaik kepada pemain bola sepak profesional dan hala tuju yang terjamin untuk kelab-kelab yang bernaung di bawah.

“Sudah pasti jawatan CEO bukan tugas mudah untuk digalas namun oleh kerana saya suka dicabar maka saya terbuka menyahut amanat ini.

“Organisasi MFL yang berpengalaman dengan ilmu dan pengalaman saya, diyakini dapat membentuk gandingan mantap untuk meneruskan kemajuan, cuma kita tidak boleh mengharapkan perubahan serta merta, ia adalah satu proses jangka panjang,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikannya yang didakwa netizen dibayangi abangnya yang juga bekas CEO MFL, Kevin Ramalingam, beliau enggan menyalahkan sesiapa.

“Itulah realiti bola sepak,” ujar beliau.

Walaupun mendukung nama bapa yang sama, Stuart berkata, keupayaannya tidak harus dipertikaikan.

“Saya di sini sebagai CEO MFL untuk meneruskan tradisi itu dan percayalah saya akan melakukan yang terbaik untuk memberi sumbangan kepada bola sepak Malaysia,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast