Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz (dua kiri) diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua kanan) menyampaikan cek dana kepada penerima, Datuk Sundararaju Verappan (kanan) pada Majlis Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 Kepada Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM, Jalan Tekpi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) sedia menerima semula anggotanya yang dipecat kerana enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, peluang itu diberi atas sifat perikemanusiaan terhadap anggota terbabit yang hanya melakukan kesalahan enggan divaksin.

“Kita manusia biasa…kita manusia, kesalahannya sebab tak nak ambil vaksin sebab dia kerja berkumpulan tapi kalau dia sedia (divaksin) kita boleh pertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 kepada Persatuan Veteran ATM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan seorang anggota tentera berpangkat sarjan yang enggan divaksinasi baru-baru ini.

Menurut Zamrose, ketika ini status anggota tentera terbabit adalah dipecat.

Tambahnya, anggota tentera itu perlu divaksinasi kerana TDM merupakan sebuah pasukan yang bekerja secara berkumpulan dan vaksinasi itu adalah sangat perlu.

Ujarnya, TDM tidak boleh melayan perangai seorang daripada anggotanya yang mempunyai pendirian sendiri hanya semata-mata tidak mahu dirinya divaksinasi kerana pasukan itu memiliki lebih 86,000 anggota lagi.

“Kita tak boleh melayan seorang kita ada 86,000 orang anggota…kalau kita layan seorang apa akan jadi kepada 86,000 lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, sebelum ini anggota terbabit telahpun dikaunseling sebanyak empat kali namun, dia masih tetap dengan pendiriannya bahawa suntikan vaksin itu tidak sesuai diberikan kepada.

Sebelum ini TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

Ia adalah susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu, terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Bagaimanapun, ia terkecuali kepada anggota tergolong dalam kumpulan tidak layak untuk menerima vaksin.

Dalam perkembangan lain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kes tembak melibatkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 13 Ogos lalu.

Katanya, kes itu masih lagi dalam siasatan dan pihaknya sedang menunggu laporan lanjut daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, Zamrose dan Ackbal menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Affendi Buang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota tentera tolak vaksin berdepan tindakan tatatertib – TDM