Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi peluang kepada anak muda untuk berjaya dalam pekerjaan sendiri atau keusahawanan bagi menjana ekonomi negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, bidang keusahawanan menyaksikan kekuatan anak muda untuk mencipta pekerjaan baru dan membantu membentuk ekonomi tempatan.

Menurutnya, inisiatif daripada kerajaan dalam aspek keusahawanan adalah dengan memberi anak muda pengetahuan dasar, latihan, dan sumber daya untuk memulai, memimpin, dan mengembangkan perusahaan kecil dan mikro.

Malah, industri berbentuk “e-commerce” perlu diberikan perhatian sewajarnya, katanya.

“Kempen seperti ‘Build Your Business’ akan menawarkan latihan e-perisian dan pemasaran atas talian yang menarik untuk menjadikan pemilikan perniagaan kecil yang bermanfaat untuk muda.

“Berkat pendekatan holistik dan kepercayaan kepada anak muda, banyak inisiatif bakal menjadikan komponen keusahawanan di Malaysia menjadi kuat.

“Sebagai contoh, anak muda yang mempelajari kemahiran hidup dan menjadi sukarelawan di komuniti mereka juga memperoleh kebebasan kewangan sebagai hasil daripada latihan keusahawanan inisiatif tersebut. Gabungan usaha anak muda dan inisiatif kerajaan mampu merancakkan ekonomi tempatan, seterusnya meningkatkan kuasa beli rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Shahir berkata, sektor swasta pula perlu memainkan peranan yang lebih pada waktu pandemik ketika ini.

Ujarnya, halangan yang mengehadkan peluang orang muda untuk berkembang perlu dihapuskan dan semua pihak perlu berusaha untuk mendorong akses yang sama dan hasil yang sama kepada anak muda tanpa mengira jantina, bangsa, status sosio-ekonomi, kecacatan dan agama.

Tambah beliau, langkah-langkah yang tegas perlu dilaksanakan untuk mengatasi peminggiran remaja disebabkan oleh diskriminasi jantina, kaum dan agama agar anak muda mendapat manfaat sepenuhnya daripada dasar kerajaan.

Shahir Adnan

“DPIM menyedari bahawa banyak komuniti dan kumpulan yang terpinggir. Pembangunan belia melalui pendekatan dan inisiatif penglibatan semua anak muda sebagai individu dengan pengalaman, cabaran, kemahiran, dan potensi tertentu, mampu melonjakkan belia Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

“Peranan ini seharusnya dimainkan dengan lebih oleh sektor swasta dalam membawa anak muda tempatan masuk ke sektor swasta.

“Telah terbukti kemampuan anak tempatan berbanding orang luar atau “expatriate” profesional di dalam sektor swasta. Contoh terdekat adalah syarikat minyak kebanggaan rakyat Malaysia, Petronas yang lebih 70 peratus pekerja profesional adalah rakyat tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast