KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Datuk Seri R Jeyendran menyumbangkan makanan, pelitup muka dan sanitiser kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota baru-baru ini.
Menurut Jeyendran, beliau mendapati ramai daripada mereka tidak mempunyai makanan mencukupi.
“Saya sayu dan terpanggil untuk membelikan makanan untuk mereka, kemudian saya minta pasukan saya pantau dan bantu apa yang perlu.
“Saya ternampak mereka ini ketika dalam kereta, terus saya berhenti dan sempat bercakap-cakap dengan mereka. Ada dalam kalangan mereka memang sudah terbiasa hidup gelandangan seperti ini,” katanya yang juga pengasas dan pemilik syarikat perkapalan, Maritime Network Sdn Bhd.
Sebelum ini, Jeyendran menerusi program tanggungjawab sosial korporat Maritime Network menyumbang kontena kepada hospital bagi tujuan penyimpanan mayat mangsa Covid-19.
Menurutnya, bukan kerajaan tidak menyalurkan bantuan kepada golongan gelandangan tetapi mereka telah biasa dengan kehidupan seperti itu.
Tambah Jeyendra, masyarakat perlu bertanggungjawab dan tidak seharusnya membiarkan golongan tersebut terus mengharungi kehidupan seperti itu dan beliau akan melakukan apa yang termampu.
Sementara itu, Jeyendran merayu kepada mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan dan tidak mengharapkan satu pihak sahaja mengambil tanggungjawab membela nasib mereka.
“Kadang kala mereka hanya perlukan bekalan makanan asas untuk teruskan kehidupan.
“Ada yang bernasib baik dapat sumbangan, ada yang tidak dapat. Kerana itu kita juga perlu peka, tanya orang sekeliling. Jika ada yang perlu bantuan, terus dihulur atau salurkan maklumat kepada pihak yang mampu membantu,” katanya. – MalaysiaGazette