ANKARA – Beberapa pemimpin dunia mengutuk serangan keganasan di Kabul, Afghanistan yang mengorbankan lebih 60 orang, termasuk 13 tentera Amerika Syarikat (AS), dan mencederakan lebih 140 yang lain.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menerusi Twitternya mengecam sekeras-kerasnya serangan di lapangan terbang Kabul itu, lapor Agensi Anadolu.
“Kami bersolidariti dengan mangsa. Masyarakat antarabangsa berdiri bersama rakyat Afghanistan, memastikan hak dan maruah mereka,” tulisnya.
Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan bersimpati dengan mereka yang cedera, memetik kenyataan Istana Elysee.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky turut mengecam “serangan pengganas yang dahsyat itu.”
“Salam takziah kepada keluarga rakyat AS dan Afghanistan. Semoga mangsa yang cedera cepat sembuh. Keganasan di Afghanistan harus dikutuk oleh semua pihak. Kita mesti bekerjasama untuk memindahkan mereka yang memerlukan bantuan,” ciapnya di Twitter.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata: “Takziah kepada keluarga mangsa, ingatan kami sentiasa bersama dengan mereka yang kehilangan orang tersayang dan yang cedera. ”
Kumpulan pengganas ISIS-K, gabungan Daesh/ISIS Afghanistan, mengaku bertanggungjawab atas serangan maut itu.
Presiden Joe Biden, senator dan ahli kongres AS turut mengecam serangan itu dan sedih dengan kejadian itu. – BERNAMA