Tunku Ali Redhauddin (kiri) dan Tun Azim

NILAI – Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tun Zaki Tun Azmi dilantik semula sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pelantikan itu diperkenankan Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Tempoh lantikan semula dua tokoh itu adalah selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Ogos lalu sehingga 31 Julai 2024.

Tunku Ali Redhauddin kali pertama dimasyhurkan Pro-Canselor USIM dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-10 pada 2012, manakala Tun Zaki yang merupakan mantan Ketua Hakim Negara dimasyhurkan pelantikannya dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-16 pada 2018.

Sebagai seorang yang dikenali bergiat aktif dalam program pembangunan masyarakat seperti penganjuran bengkel kepimpinan untuk pelajar dan juga golongan profesional muda, ia menjadi antara faktor Tunku Ali Redhauddin amat dekat di hati dan mudah didekati mahasiswa USIM.

Seringkali terlibat dalam program anjuran mahasiswa seperti Pesta Konvokesyen, Larian Nocturnal dan program khidmat komuniti, Tunku Ali Redhauddin juga sentiasa menyokong pelbagai program utama universiti.

Tahun lalu, bagi memastikan warisan adat budaya di Negeri Sembilan terus dipelihara, Tunku Ali Redhauddin berkenan menjadi penaung dan menyumbang buah fikiran kepada penghasilan buku Adab Dalam Teromba: Unsur Islam dalam Kesusasteraan Melayu terbitan Pusat Kebudayaan USIM.

Tun Zaki pula telah memainkan peranan signifikan kepada pengurusan universiti dalam berkongsi pengalaman, cadangan dan idea ke arah memantapkan elemen tadbir urus universiti dari semasa ke semasa.

Sebagai tokoh disegani dalam bidang kehakiman dan perundangan, beliau memanfaatkannya dengan menambahbaik kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) sejak 2011, apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di fakulti berkenaan.

Tun Zaki antara yang turut sama membantu universiti sehingga berjaya mendapat pengiktirafan penuh program pengajian undang-undang daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) Mei lalu.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Ridza Wahiddin menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Canselor melantik semula kedua-dua Pro-Canselor untuk terus menyumbang bakti kepada USIM.

“Warga kampus berbesar hati pelantikan semula ini dan berharap kepakaran serta pengalaman dua tokoh hebat ini dapat membawa USIM melangkah lebih jauh sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam terkemuka yang diiktiraf, dirujuki dan dihormati dalam dan luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette