Keadaan kawasan di sekitar Gunung Jerai susulan fenomena kepala air yang mengakibatkan banjir kilat. - Foto: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

YAN, 28 Ogos — Pasukan ‘Task Force’ Bencana Geologi, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak menemukan sebarang ‘empangan semula jadi’ atau ‘blockage’ di kawasan puncak atau lereng Gunung Jerai yang dikatakan menjadi penyebab kejadian fenomena kepala air di gunung tersebut pada 18 Ogos lepas.

Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG Dr Ferdaus Ahmad berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan, tiada bukti atau tanda bahawa empangan semula jadi iaitu longgokan kayu dan ranting yang menahan aliran air dan menyebabkan takungan air, terbentuk di gunung tersebut.

Menurutnya, fenomena kepala air atau istilah lebih tepat bencana geologi aliran puing di kawasan gunung itu terjadi ekoran dua perkara; faktor pencetus iaitu hujan lebat pada hari kejadian dan faktor penyumbang iaitu keadaan geologi merangkumi tanah, batuan dan keadaan cerun di kawasan itu.

“Sebelum kejadian yang dikatakan kepala air itu sebenarnya terdapat hujan yang sangat lebat di luar daripada keadaan biasa. Jadi air hujan itu telah meresap ke dalam tanah dan melembutkan struktur tanah serta batuan di kawasan sekitarnya.

“Faktor yang menyumbang kepada kejadian itu pula ialah sudut cerun gunung itu yang lebih daripada 25 darjah, selain sistem retakan pada batuan yang terdapat di Gunung Jerai serta ketebalan tanah di permukaan gunung itu menjadi faktor penyumbang kejadian tanah runtuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan gabungan faktor pencetus dan faktor penyumbang ini, bencana sama boleh berulang di kawasan Gunung Jerai, namun pihaknya tidak dapat menentukan bila fenomena semula jadi itu akan berlaku semula.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan empangan sabo di kawasan cerun dan aliran sungai bagi mengurangkan kesan bencana geologi itu, Dr Ferdaus berkata berdasarkan kajian teknikal dan kaedah sama yang diamalkan negara luar, empangan tersebut boleh mengurangkan kesan buruk aliran puing.

Namun, beliau menjelaskan pembinaan empangan kecil itu memerlukan penglibatan pelbagai jabatan teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia bagi memastikan kaedah itu sesuai dan berkesan untuk dilaksanakan di negara ini.

“Antara faktor yang kita perlu pertimbangkan adalah faktor geologi di kawasan tersebut, sama ada pembinaan itu sesuai atau tidak atau ‘cost effective’ atau tidak dalam mengurangkan risiko dan mengelakkan kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda. Kita perlu menimbang banyak perkara sebelum kita membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Bencana banjir ekoran fenomena kepala air yang berlaku pada petang 18 Ogos itu telah mengorbankan enam nyawa dan menyebabkan kira-kira 800 rumah terjejas di daerah Yan dan 200 lagi di kawasan Merbok di daerah Kuala Muda. – MAlaysiaGazette