UMNO ministers deputy resign Emergency extend Parliament MPs Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Tiada lagi penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas pembentukan Kabinet baharu hari ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan menggunakan jenama Keluarga Malaysia susulan kedudukannya yang tidak sekuat seperti sebelum ini.

“Jenama ini dipakai memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO berlangsung hampir lebih tiga jam bermula jam 8 hingga 11.30 malam dan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Selain itu, MT UMNO sebulat suara menyokong sepenuhnya pelantikan Ismail Sabri dan membantu Naib Presiden UMNO itu bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO.

“Menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan baharu ini perlu segera memfokuskan usaha menangani pandemik Covid-19 serta proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian.

Katanya, kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat sedia ada.

“Ini termasuklah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara sekaligus minimum RM10,000 serta bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya.- MalaysiaGazette