PENAGA – “Keunikan nama ini membuatkan saya berpeluang berjumpa Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta beberapa pemimpin negara secara dekat, jika tidak hanya mampu melihat mereka menerusi kaca televisyen saja.

Itu jelas Mohd Merdeka Ismail,64, ketika diminta mengulas keistimewaan yang diperoleh dengan keunikan namanya.

Menurut nelayan itu, nama tersebut diberikan bidan kampung yang dikenali sebagai Tok Esah ketika menyambut kelahirannya pada 31 Ogos 1957 kira-kira jam 7 pagi di Tasek Gelugor di sini.

Mohd Merdeka menunjukkan buku khas yang diterimanya ketika berjumpa pembesar negara pada tahun 2007 .

Kata Mohd Merdeka, pada awalnya keluarga tidak mahu menamakan sedemikian namun tok bidan memberi alasan tuah sempena negara baru mengecapi kemerdekaan membuat mereka bersetuju.

“Memang bertuah sungguh kerana keunikan nama serta umur sama dengan tahun negara capai kemerdekaan membuatkan diri saya ini dihargai setiap tahun bulan kebangsaan.

“Nama ini juga memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila saya dan keluarga berpeluang ke ibu negara untuk berjumpa dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2007 serta Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) secara dekat.

Peluang berjumpa Tuanku Mizan di Istana Negara antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

“Selain saya puluhan individu yang lahir pada 31 Ogos 1957 turut dirai secara besar-besaran pada majlis itu sempena 50 tahun negara kecapi kemerdekaan.

”Bagaimanapun, dalam jumlah itu hanya 18 orang saja mengabadikan nama ‘Merdeka’ dalam kad pengenalan diri,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tepi Laut, Penaga di sini, hari ini.

Menurut Mohd Merdeka, ketika berada di bangku sekolah dia malu dengan namanya itu memandangkan selalu diejek oleh rakan sebaya serta orang kampung, namun semua itu berubah apabila meningkat usia erti kemerdekaan itu lebih difahami sekali gus membuat dirinya bangga.

“Zaman kecil-kecil dulu tak berapa nak tau betapa bermakna kemerdekaan itu buat negara sebab tu saya tak suka. Malah, sampai sekarang masih ada orang kampung yang memanggil saya sambil mengangkat tangan seolah-olah melaungkan slogan Merdeka,” katanya.

Mohd Merdeka mendirikan rumahtangga dengan Che Kiah Osman pada tahun 1992 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Mohd Merdeka bersama isteri (tengah) serta anak tunggalnya melihat gambar kenangan dirinya dirai ekoran keunikan nama serta tahun lahirnya.

Sementara itu, anak tunggalnya, Izzatunnabila Mohd Merdeka, 28, berkata, dia berdepan situasi yang sama seperti ayahnya ketika berada di bangku sekolah berikutan nama ayahnya sering diejek rakan kelas.

“Bagaimanapun, semua ejekkan itu bertukar jadi kebangggan kami sekeluarga apabila ayah dipanggil oleh Jabatan Penerangan untuk memberikan penghargaan atas keunikan nama serta tarikh lahirnya.

Izzatunnabila.

“Sejak daripada itu ayah kerap ditemu bual media sekali dirinya mula dikenali seluruh rakyat dalam negara ini termasuk mengharumkan nama kampung.

“Walaupun memiliki nama Mohd Merdeka, ayah seorang pendiam dan lebih gemar melakukan kerja-kerja daripada hasil tangannya sendiri termasuklah rumah yang kami diami ketika ini dibina sendiri oleh ayah,” jelas pekerja swasta itu. – MalaysiaGazette