KUALA LUMPUR – Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos ini akan disambut dalam suasana sederhana dengan situasi baharu memandangkan negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Bagi memastikan sambutan pada Selasa ini berjalan lancar, satu raptai diadakan pagi di lokasi Dataran Pahlawan Putrajaya.
Sambutan kali ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya yang mana hadirin dan jemputan dihadkan kehadiran, tetapi boleh mengikuti secara maya.
Dalam raptai pagi ini, antara aturcara sambutan ialah ketibaan Menteri Komunikasi dan Multimedia kira-kira jam 7.46 pagi untuk menyambut tiba Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pada pukul 8 pagi.
Perdana Menteri, Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Ketua Setiausaha Negara dan dif-dif kehormat ke pentas utama untuk upacara sambutan.
Acara dimulakan dengan bacaan doa, diikuti nyanyian lagu Negaraku dengan menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bacaan ikrar Rukun Negara dan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.
Cuaca pagi ini hujan tetapi acara tetap diteruskan menerusi persembahan drumline oleh 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari tiga cabang iaitu TLDM, Tentera Darat Diraja Malaysia (TDDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Selepas itu, 65 anggota TLDM berpangkalan di Lumut, Perak mengadakan persembahan kawad senyap, sebelum pancaragam Gabungan Badan Beruniform (GBB).
GBB yang dianggota 80 orang itu melibatkan TDDM, TUDM, TLDM, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Anggota Ikatan Relawan Malaysia.
Hadir menyaksikan raptai pagi ini, Tan Sri Annuar Musa.
Raptai dihentikan kira-kira setengah jam kerana hujan, sebelum dimulakan pada jam 9 pagi dengan pertunjukan udara oleh pasukan terbaik juruterbang TUDM.
Hari Kebangsaan bertemakan “Malaysia Prihatin” berakhir pada jam 9.15 pagi.
Tiada acara rasmi Ambang Merdeka seperti perarakan raksasa dari pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) tahun ini berikutan mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette