Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu menyemak semula syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mencapai imbangan positif terhadap kemasukan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negara.Ini kerana, Program MM2H yang dibenarkan beroperasi semula dengan beberapa syarat baharu kepada peserta dilihat terlalu ketat.

Lantaran itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya kerajaan mempertimbangkan semula syarat-syarat baharu yang ditetapkan kerana ia dikhuathiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu, serta pemegang pas MM2H yang sedia ada sekarang.

”Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara. Jika ia (syarat baharu) terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada.

”Ini juga amat mengecewakan kita di Johor di mana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura serta rakyatnya, syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka untuk tidak melabur di Johor,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengembalikan kriteria yang ditetapkan sebelum ini yang berkesan dalam mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.

Sejak dimulakan pada tahun 2002, hanya 57,478 warga asing telah diberikan pas jangka panjang MM2H.

Namun, program itu telah dihentikan sementara pada September 2018 untuk dikaji semula, dengan syarat-syarat baharunya diperkenalkan pada minggu lalu.

Di bawah syarat baharu ini ditetapkan pendapatan luar negara peserta MM2H adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.

Manakala, pemilikan akaun simpanan sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak mereka.

Peserta juga perlu pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, kadar fi pas daripada RM90 dinaikkan kepada RM500 setahun dan fi proses pula sebanyak RM5,000 bagi prinsipal serta RM2,500 bagi setiap tanggungan.

Baginda berkata, peraturan-peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini.

”Bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan? Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta, dan ini juga bukan masanya untuk menaikan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik akan menjejaskan imej negara,” titah Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast