Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang menggesa kerajaan untuk mengawal perkhidmatan-perkhidmatan dan harga-harga yang di kenakan oleh Pos Malaysia Berhad walaupun syarikat ini telah diswastakan tetapi ianya terletak di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebagai kementerian yang mengawal selia tarif dan perkhidmatan Pos Malaysia, sekurang-kurangnya kerajaan patut memberi penjelasan yang munasabah terhadap kenaikan harga dan penamatan perkhidmatan bungkusan udara ke/dari Sabah dan Sarawak.

Jadual tarif baharu juga tidak dimaklumkan dan dipamerkan di mana-mana pejabat pos dan/atau laman web namun laman web dan aplikasi mudah alih Pos Malaysia hanya membuka ruang untuk mendapatkan sebut harga tanpa memaklumkan sebarang maklumat kenaikan harga atau jadual tarif yang baru.

Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang, Armin Baniaz Pahamin mendakwa, kakitangan di Pejabat Pos juga tidak tahu berkenaan dengan jadual tarif baru dan hanya meminta pelanggan untuk memeriksa pada ruang sebut harga di laman web dan aplikasi.

Pada 16 Ogos 2021, Pos Malaysia telah memberhentikan semua ‘Perkhidmatan Bungkusan Udara Domestik’ dari/ke Sabah dan Sarawak dan semua penghantaran bungkusan dari/ke Sabah dan Sarawak terpaksa dihantar melalui Perkhidmatan Bungkusan Laut Domestik dengan kenaikan harga yang amat tinggi.

Contohnya, harga bungkusan melalui laut domestik yang dihantar dari poskod 60000 ke poskod 93450 ke Sarawak dengan berat 2.1kg hanya dikenakan harga RM10 tetapi selepas kenaikan harga baru, bungkusan tersebut telah dinaikkan harga kepada RM17
untuk timbangan berat dan lokasi penghantaran yang sama.

Katanya, perkhidmatan Bungkusan Darat Domestik dalam Semenanjung juga ditamatkan dan pelanggan tiada pilihan lain kecuali menggunakan perkhidmatan Pos Laju yang jauh lebih mahal.

Bungkusan dengan berat 3.7kg yang dihantar dari poskod 60000 Kuala Lumpur ke poskod 86000 ke Kluang Johor contohnya, naik dari RM10 kepada RM18.57.

”Adalah tidak wajar untuk kerajaan meluluskan kenaikan harga sebegitu tinggi dan membenarkan perkhidmatan ini ditamatkan dengan hanya memberi tiga hari notis memandangkan banyak perniagaan IKS bergantung kepada perkhidmatan bungkusan
yang murah dan berpatutan.

”Malah sebarang kenaikan harga patut dibekukan dahulu untuk membantu industri kecil dan sederhana berdaya tahan di kala pandemik Covid-19 yang telah menjejas hampir keseluruhan industri dan bukan mengambil kesempatan dari pertumbuhan perkhidmatan bungkusan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, jumlah Perkhidmatan bungkusan naik dari 71 juta kepada 111 juta pada tahun 2020.

Perkhidmatan Penghantaran Bungkusan Udara itu memakan masa hanya tiga hingga hari untuk penghantaran dari/ke Sabah dan Sarawak dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga penghantaran udara domestik alternatif seperti Pos Laju, J&T,
DHL dan lain-lain.

Perkhidmatan Penghantaran Bungkusan Laut Domestik pula, memakan masa lebih dua minggu dan harga dinaikkan hampir sama dengan harga kos Perkhidmatan Bungkusan Udara Domestik setelah perkhidmatan itu ditamatkan.

Armin menambah, kenaikan harga ini menjejas jualan perniagaan-perniagaan kecil dan menjadikan barangan dan produk mereka kurang berdaya saing.

“Kami menerima laporan ramai usahawan dari Sabah dan Sarawak yang mengalami kerugian purata RM5,000 akibat dari kenaikan harga dan notis yang diberi begitu singkat,” ujar beliau.

Katanya, perkhidmatan Pos Malaysia harus di pandu sebagai logistik utama dan tempat bergantungnya ramai usahawan baharu yang terkesan terutamanya usahawan yang mengusahakan perniagaan dari rumah dan memerlukan perkhidmatan Pos Malaysia
dalam musim pandemik Covid-19.

Pertumbuhan E-dagang di Malaysia telah berkembang pesat lima tahun kebelakangan ini terutamanya pada tahun 2020 dengan sekatan pergerakan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Pada tahun 2019, POS Malaysia telah menaikkan tarif sebanyak 20% sehingga 210% bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu dan kadar pos baru telah dinaikkan lagi sekali pada tahun 2020. – MalaysiaGazette