KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari menetapkan 8 November ini untuk memutuskan keputusan saman lucut hak berkaitan skandal penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Selain kedua-dua mereka, seramai 17 pihak lain yang turut terlibat dalam keputusan itu termasuklah anggota keluarga Najib, individu serta beberapa syarikat dalam dakwaan penyewelengan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan tarikh 8 November selepas hujah akhir pendakwaan hari ini.
Kata Mohamed Zaini dirinya memerlukan dua bulan untuk penghakiman bertulis.
Sebelum ini, sekitar Mei 2019, Pejabat Peguam Negara (AGC) yang diterajui oleh Tan Sri Tommy Thomas bertindak memfailkan saman lucut 1MDB terhadap 18 pihak ini.
Ini juga berkait dengan dengan rampasan ratusan barangan termasuklah jam tangan mewah, beg tangan mewah, mata wang asing, 27 buah kenderaan daripada kesemua 18 responden ini.
Dalam saman pelucutan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan disebut sebagai responden pertama, diikuti oleh Rosmah.
Selain itu ahli keluarga Najib termasuk anak tiri, Riza Shahriz Abdul Aziz (lebih dikenali sebagai Riza Aziz), anak lelaki, Nor Ashman Razak serta anak perempuan Nooryana Najwa masing-masing dinamakan sebagai responden ketiga, keempat dan kelima dalam perbicaraan tersebut
Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada ahli perniagaan berkaitan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low).
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, peguam Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun turut dinamakan sebagai responden
Antara barang berharga yang dirampas pada 17 Mei 2018 dan pada 11 Jun 2018 adalah 52 beg tangan berjenama dan 10 utus jam tangan berjenama.
Wang tunai tunai dalam nota berbeza turut dirampas termasuk RM187,750 dalam nota lama, RM21,150 dalam nota baru, £320,500 dalam nota lama, £2,700 dalam nota baru, AS$100, €20, S$40, 2,870,000 rupee Sri Lanka, 13,177,00 rupiah, 376 hryvnias (mata wang Ukraine), 50 franc, 10 rands, 531 riyal, dan 740 peso Filipina.
Turut dirampas pada hari yang sama ialah empat utas jam tangan berjenama, 171 beg tangan mewah dan 27 pasang kasut, manakala 40 beg tangan mewah dirampas pada 11 Jun 2018.
Pada 2 Ogos 2018, sebanyak 27 kenderaan jenis Nissan Urvan turut disita oleh pihak berkuasa. -MalaysiaGazette