KUALA LUMPUR – Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan yang dilancarkan oleh Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada akhir bulan Julai lalu mendorong kepada produktiviti, ekonomi dan daya saing negara, serta dapat menerapkan pendekatan Amalan Baik Peraturan (GRP) dalam kalangan Pengawal Selia.
Selaras dengan dasar ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya menganjurkan Hari Produktiviti: Sesi Libat Urus bersama Penyelaras Peraturan secara maya baru-baru ini.
Seramai 400 peserta yang melibatkan 273 kementerian dan agensi kerajaan telah menyertai program ini bagi meningkatkan kefahaman mengenai fungsi dan peranan Penyelaras Peraturan dalam merealisasikan NPGRP serta berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi oleh Penyelaras Peraturan dalam memastikan proses penggubalan dan semakan peraturan adalah telus, cekap serta terangkum.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, sesi libat urus ini adalah satu platform yang dapat memberikan pencerahan kepada Penyelaras Peraturan berkaitan perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam memastikan proses penggubalan dan semakan peraturan dapat dilaksanakan.
Ini penting untuk menghasilkan dasar dan peraturan berkualiti, yang akan mencerminkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian peraturan, malah dapat memberi impak dalam melonjakkan pertumbuhan produktiviti negara ke arah pemulihan ekonomi.
”Ini juga menjamin peraturan tangkas – iaitu dasar dan peraturan yang responsif mengikut kesesuaian keadaan serta cabaran semasa dan akan datang.
”Peraturan tangkas mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik agar syarikat-syarikat boleh beroperasi dan berkembang tanpa bebanan peraturan yang tidak wajar. Dengan itu, operasi perniagaan akan menjadi lebih produktif dan progresif,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Produktiviti: Sesi Libat Urus bersama Penyelaras Peraturan.
Di dalam laporan tahunan IMD World Competitiveness Yearbook 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-25 secara keseluruhan berbanding 64 ekonomi lain.
Berdasarkan laporan tersebut, terdapat keperluan untuk membuat semakan dengan kadar segera ke atas peraturan tidak wajar agar seiring dengan pembangunan ekonomi yang pesat.
Pembuat Dasar, Pihak Kawal Selia dan Pihak Berkuasa perlu menerapkan Amalan Baik Peraturan bagi meningkatkan pertumbuhan produktiviti negara seterusnya memberikan kesejahteraan kepada rakyat.
”Hari ini, seluruh dunia termasuk Malaysia menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19. Tanggungjawab kerajaan seluruh dunia, termasuk Malaysia adalah mengawal pandemik ini dari terus merebak serta memberikan penumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi.
”Sehubungan itu, pembuat dasar dan peraturan kerajaan perlu melaksanakan peranan secara sinergi di dalam memastikan negara kita berjaya keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi yang dihadapi sekarang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette