Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bersama timbalannya, Datuk Amzad Mohamed@Hashim melihat proses pembotolan vaksin di Technology Park Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak menolak kemungkinan untuk mengumumkan Peta Pembangunan Vaksin Negara selewat-lewatnya 100 hari pentadbiran kerajaan baharu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha itu kini pada peringkat akhir bagi membolehkan negara mempunyai dan menghasilkan vaksin sendiri menjelang tahun 2024.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah mula membangunkan dua vaksin, iaitu pada tahap proof of concept, maknanya ia sudah mula dilakukan oleh saintis kita.

“Kita ada kapasiti dan keupayaan untuk membangunkan vaksin sendiri.

“Kita harap dalam sebulan dua ini, MOSTI akan umum sekurang-kurangya 100 hari (pentadbiran),” katanya pada sidang media di Taman Teknologi Malaysia hari ini.

Jelas Dr. Adham, terdapat dua jenis vaksin sedang dibangunkan MOSTI iaitu vaksin yang merupakan virus terendah aktif dan kedua ialah vaksin Jujuk Genetik Pemutus.

“Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA yang dibangunkan IMR sudah sampai ke peringkat cloning dan akan ada proses-proses seterusnya.

“Aktiviti terkini ialah untuk virus terendah aktif iaitu menyah virus yang terpilih dan penambahan bahan khas iaitu adjuvant untuk meningkatkan tindak balas vaksin itu sendiri.

“Untuk jujukan genetik mRNA, kita sudah sampai ke peringkat proof of concept dan sekarang Ini dalam proses untuk transcription,” katanya lagi. – MalaysiaGazette