Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO telah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mengesahkan keputusan penangguhan pemilihan parti itu untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

“Pada lewat petang hari ini, saya telah menerima surat daripada RoS, Ketua Pengarah Jasri Kasim, rujukan surat PPM/WKL 251/88 JLD. 11 (1).

“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Ahmad, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih perlu diadakan pada tahun ini dan tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersabar dalam hal tersebut termasuklah RoS yang memberikan kerjasama kepada UMNO.

“Terima kasih diucapkan kepada presiden, timbalan, naib-naib presiden, ahli MKT kerana memberi panduan dan juga kepimpinan UMNO serta ahli yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku.

“Terima kasih kepada KP RoS dan pegawainya yang telah memberikan kerjasama baik di sepanjang semakan dan pertemuan kami,” katanya.- MalaysiaGazette