KUALA LUMPUR – Negara berupaya merdeka daripada ancaman pandemik Covid-19 buat selama-lamanya sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad lalu diterap dan disuburkan pada hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah, kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci negara menghadapi apa jua cabaran yang mendatang termasuklah menghadapi badai gelora pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
Sehubungan itu, baginda menasihati seluruh rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi membendung penularan pandemik ini.
Baginda bertitah demikian ketika menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Baginda berpandangam sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan akan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan berupaya menggugat pelan pemulihan negara yang dirangka.
“Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat menyedari usaha mengekang pandemik ini memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan dengan menolak perbezaan pendapat dan mengenepikan pertikaian politik agar wujud simbiosis erat antara semuanya dalam berjuang untuk membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Baginda juga menyeru kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.
Titah Yang di-Pertuan Agong, rakyat wajar terus dilindungi agar dapat tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini.
Baginda turut menyeru Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok.
Manakala rakyat juga sewajarnya berpegang teguh kepada prinsip ‘Malaysia Prihatin’ dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara ke-64, perpaduan, keharmonian terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
Baginda juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, para sukarelawan dan orang perseorangan yang menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.
Yang di-Pertuan Agong juga mengajak rakyat mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan negara serta anggota keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada penjajah dan seteru negara. – MalaysiaGazette