Sektor peruncitan yang terjejas akan dipulihkan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bajet 2022 dirangka dengan matlamat untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi serta memangkin pembaharuan sosioekonomi, menurut Kenyataan Pra-Bajet 2022.

Oleh itu, Bajet 2022 dirangka berdasarkan keperluan utama untuk meneruskan program bantuan dan sokongan bagi memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN); menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

Selain itu ia memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.

Menurutnya, Bajet 2022 akan meneruskan kesinambungan pelan berkenaan bagi memacu pemulihan negara, seiring dengan pelancaran PPN sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa bagi mengatasi kemelut pandemik Covid-19.

Bagi memastikan negara berjaya pulih dan keluar daripada kemelut ini, Bajet 2022 akan terus melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian pascapandemik.

Katanya, kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

Dengan itu, Bajet 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast