KUALA LUMPUR – Sehingga Julai 2021, jumlah kutipan Cukai Langsung direkodlan adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2% daripada sasaran.
Manakala Cukai Tidak Langsung sebanyak RM24.8 bilion atau 59% daripada unjuran awam.
Bagi tahun 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion, yang merupakan 10.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Ia merangkumi kutipan Cukai Langsung sebanyak RM120.0 bilion dan Cukai Tidak Langsung sebanyak RM42.1 bilion, menurut Kenyataan Pra-Bajet 2022.
Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan.
Sebagai langkah membantu golongan dan sektor terjejas, inisiatif percukaian yang dianggar berjumlah RM3 bilion telah dilaksanakan melalui Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang tahun 2021 iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih.
Melalui Belanjawan 2021, langkah meluaskan asas cukai bagi meningkatkan kutipan hasil juga telah diumumkan. Ini termasuk pengenaan duti eksais ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape serta cecair atau gel tanpa nikotin.
Skop pelaksanaan cukai pelancongan juga diperluas meliputi premis penginapan yang ditempah melalui penyedia platform dalam talian.
Kerajaan juga sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai, antara cadangan dalam penelitian termasuklah pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan untuk tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.
Selain itu memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan dan mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil dan melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN). – MalaysiaGazette