KUALA LUMPUR – Setuju, tetapi mekanismenya perlu diperincikan lagi supaya lebih tepat sebelum dijadikan akta.
Demikian pandangan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung cadangan memperkenalkan akta lompat parti.
Katanya, beliau pada dasarnya bersetuju dan menyokong cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya ahli politik yang lompat parti perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK).
Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan memerlukan satu mekanisme yang terperinci dan tepat sebelum menjadikannya sebagai akta yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Saya amat menyokong penuh saranan Azalina mengenai akta lompat parti, kerana sudah sampai masanya akta ini diperkenalkan di negara kita.
“Namun, beberapa mekanisme harus dikaji terlebih dahulu supaya tidak berlaku kelopongan,” katanya di sini.
Sebelum ini, Azalina dilaporkan menggesa kerajaan mempertimbangkan pilihan raya atau “recall election” bagi memecat atau menghalang wakil rakyat yang lompat parti.
Kata beliau, “recall election” adalah mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat diberikan kepada pemimpin itu sekiranya melompat parti.
Dengan cara itu, katanya, ia membolehkan PRK diadakan semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang baharu.
Menurut Khairuddin, undang-undang lompat parti penting untuk mengelakkan mandat rakyat melalui proses pilihan raya dikhianati oleh pemimpin politik yang mempunyai kepentingan peribadi.
Kata beliau, kerajaan juga perlu mengambil kira andainya sesebuah parti itu telah rosak dengan amalan rasuah atau apa saja bentuk salahlaku yang mendorongkan wakil rakyatnya meninggalkan parti.
“Adakah wakil rakyat ini harus dihukum? Mereka lompat kerana tidak bersetuju dengan pendirian partinya yang korup. Ini semua perlu diambil kira. – MalaysiaGazette