KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi memaklumkan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2021 dibatalkan serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Biar pun kadar kes baharu Covid-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu.
“Ia sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap yang rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Stuart, selain itu, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan vaksin masing-masing juga berada pada tahap yang agak rendah ketika ini.
Menurutnya, faktor berkenaan akan memberi risiko tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini.
“Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi perlu juga mengambilkira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat dalam lingkungan pemain muda yang berusia di antara 17 tahun hingga 22 tahun.
“Di samping itu juga, beberapa perkara penting di dalam penyediaan SOP dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran telah mendorong untuk FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini .
“Ia satu keputusan yang berat untuk diterima semua pihak tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain,”tegasnya.- MalaysiaGazette