Penerima, Norehan Jaaffar, 47, mengambil sumbangan yang telah diagihkan pada Program Sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Merdeka, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

TANGGAL 31 Ogos menjadi tarikh keramat yang sentiasa dikenang dan tersemat rapi dalam setiap diri warga Malaysia. Rentetan kemelut pandemik COVID-19 yang masih mengganas, tema hari kebangsaan ‘Malaysia prihatin’ terus dikekalkan. Ia menggambarkan kesungguhan dan komitmen pihak kerajaan serta masyarakat umumnya yang terus berjuang membanteras penularan COVID-19 dari terus merebak dan berleluasa. Tema ‘Malaysia Prihatin’ membawa signfikasi jelas yang menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk bersama-sama menyemai benih keprihatinan terhadap isu semasa sama ada melibatkan kawasan kejiranan, tempat kerja malah institusi kekeluargaan.

Walaupun pergerakan telah dihadkan dan disarankan untuk berada di dalam rumah sahaja, ia bukanlah alasan untuk berdiam diri dari menyambut hari kemerdekaan dan senyap dari menzahirkan keberadaan menghayati tema merdeka pada tahun
ini malah masyarakat perlu mengambil peluang untuk terus bersatu padu berganding bahu membantu kerajaan menurunkan jumlah kes COVID-19 dari terus meningkat.
Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin inisiatif
mengibarkan jalur gemilang menjadi satu simbol solidariti yang membawa maksud seluruh masyarakat turut serta berganding bahu berjuang menentang COVID-19.

Hal ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing dan seterusnya menyemarakkan semangat untuk berjuang menentang COVID-19. Hal ini dapat dipraktikkan bermula dari dalam kelompok institusi keluarga yang sentiasa berhati-hati dan mengamalkan SOP (Standard Operating Procedure) yang ketat setiap kali melakukan sebarang aktiviti luar rumah. Pencegahan yang bermula dari rumah dapat mencegah COVID-19 dari terus bermaharajalela menjangkiti setiap individu dengan mudah.

Sekiranya kempen ‘#kitajagakita’ dapat dihayati dan dipraktikkan dengan konsisten, penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dan seterusnya mencapai matlamat untuk bebas dari cengkaman virus pembunuh ini. Selain itu, tema Malaysia Prihatin membawa konotasi bahawa setiap individu perlu turut serta menghulurkan bantuan dalam membantu mereka yang terkandas akibat COVID-19.

Ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk
menyara keperluan kehidupan keluarga dan peningkatan kes pengangguran menyebabkan isu ‘bendera putih’ menjadi semakin hangat diperkatakan sebelum ini. Ekoran itu, ramai yang tampil ke hadapan menghulurkan bantuan. Justeru, disarankan agar setiap individu menjadi masyarakat prihatin dengan menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada mereka yang memerlukan.

Tidak dinafikan, pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh pelbagai pihak khususnya kerajaan seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Sara Hidup (BSH), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Geran Khas Prihatin (GKP), Bakul Prihatin Negara dan sebagainya. Malah ada juga masyarakat yang prihatin dengan menghulurkan bantuan berbentuk makanan dengan mengedarkan makanan yang siap dimasak bagi mereka yang memerlukan. Oleh itu, masyarakat hendaklah memaknai solidariti menentang COVID-19 dengan melibatkan diri membantu dan menghulurkan bantuan pada mereka yang tidak berdaya kerana terjejas dengan pandemik COVID-19.

Sementara itu, polemik hebat yang melanda negara ini tidak memadamkan penghayatan
menyambut hari kemerdekaan. Pelbagai pihak yang terdiri dari sektor pendidikan seperti
universiti awam, sekolah dan badan-badan kerajaan aktif menjalankan pertandingan
bersempena sambutan hari kemerdekaan. Hal ini menunjukkan inisiatif masyarakat Malaysia dalam melahirkan rasa semangat kemerdekaan bagi seluruh masyarakat umumnya.

Pertandingan yang dibuka kepada warganegara adalah berbentuk pertandingan menulis esei, membuat video pendek, pertandingan mewarna dan melukis, mencipta pantun, pertandingan nyanyian lagu patrioritik, mereka poster bertemakan kemerdekaan, serta pertandingan fotografi bersempena hari kemerdekaan. Pelbagai hadiah lumayan diberikan untuk meraikan kejayaan dan menarik minat masyarakat untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan yang dianjurkan ini dapat menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan walaupun tidak dapat menyambutnya dalam bentuk perhimpunan seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Justeru usaha ini amatlah digalakkan dan haruslah dipupuk bagi menyemai semangat patrioritik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

Sementara itu, sokongan padu dalam memerangi COVID-19 perlulah diperkuatkan. Pelbagai bentuk sokongan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan. Khususnya, bagi mereka yang dijangkiti COVID-19. Masyarakat perlu memberi sokongan moral menerusi media masa. Kata-kata semangat dapat memberikan sinar kepada mereka untuk terus berjuang pulih dari wabak ini.

Selain itu, memperbanyakkan aktiviti kerohanian juga dapat membantu memulihkan keadaan pada masa kini. Bagi masyarakat Islam, kebergantungan dengan sang
Pencipta perlu diperkukuhkan dengan memperbanyakkan mendengar ceramah agama,
menganjurkan bacaan Yassin, solat hajat untuk memohon kepada Allah dari sebarang bahaya wabak COVID-19 dari terus merebak.

Perkhidmatan tele-kaunseling juga perlu sentiasa bersedia menerima klien dan membantu sehabis baik untuk membanteras masalah kemurungan dan kesihatan mental yang kian meningkat. Tuntasnya, walaupun hari kemerdekaan yang ke-64 kali ini disambut selama dua tahun dalam pandemik COVID-19, namun semangat kemerdekaan dan patrioritik tidak luntur dan terkubur begitu sahaja. Pelbagai inisiatif lain masih dapat dijayakan dalam memaknai erti kemerdekaan yang sebenar. Masyarakat seharusnya berganding bahu turut sama membantu kerajaan menangani COVID-19 dari terus berleluasa.

Semoga tema hari kemerdekaan ini membawa makna yang bererti dan mendalam untuk dihayati oleh setiap warganya. Selamt menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 tahun Malaysia.

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast