KUALA LUMPUR – Yayasan Selangor menawarkan bantuan pembiayaan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah sesi September yang dibuka bermula esok.
Agensi itu memaklumkan, permohonan terbuka kepada individu yang sedang belajar atau menerima tawaran pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta diiktiraf kerajaan.
“Pembiayaan yang ditawarkan adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah tanpa faedah dikhususkan hanya kepada pemohon warganegara Malaysia dan rakyat Selangor yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Pemegang Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah berpeluang mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pelajaran sehingga 100 peratus daripada jumlah pembiayaan.
“Pengecualian itu sekiranya pemegang pinjaman menamatkan pengajian dengan cemerlang pada peringkat ijazah sarjana muda dalam tempoh yang sepatutnya, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tawaran dibuka bermula 1 sehingga 30 September 2021. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Yayasan Selangor www.yayasanselangor.org.my.
Pada 29 April, Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan 18 agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksana pelbagai program pendidikan selaras wawasan negeri pintar 2025. – MalaysiaGazette