KUALA LUMPUR – Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada Oktober depan, dijangka menumpukan gabungan agenda pro-pertumbuhan dan inklusif bagi memastikan pemulihan ekonomi negara yang lebih mampan susulan krisis COVID-19, kata CGS-CIMB.
Dalam nota penyelidikannya pada Rabu, CGS-CIMB juga menyifatkan belanjawan tersebut akan memberi fokus terhadap tiga objektif – melindungi dan memacu pemulihan kehidupan dan mata pencarian, membina semula ketahanan negara serta memangkin usaha pembaharuan.
Ia turut menjangkakan sokongan fisikal bersasar akan diteruskan bagi melindungi golongan masyarakat mudah terjejas dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik itu seperti pelancongan dan runcit.
“Berikutan itu, kami mengunjurkan kadar pemberian vaksin yang tinggi, pembukaan semula ekonomi dan langkah fiskal bersasar akan memulakan konsolidasi fiskal pada 2022,” katanya.
Menurut CGS-CIMB, walaupun terdapat keperluan untuk menampung pemulihan ekonomi, tiada sebarang petunjuk jelas mengenai langkah penyusunan semula cukai termasuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
CGS-CIMB berkata, kerajaan juga dalam usaha mempertingkat kutipan hasil menerusi pematuhan cukai yang lebih ketara.
Antara langkah yang dipertimbangkan termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa menyertai perolehan kerajaan, mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).
Semalam, Kementerian Kewangan (MoF) mengeluarkan Kenyataan Pra-Belanjawan (KPB) untuk Belanjawan 2022 yang pertama kali diterbitkan dengan memaklumkan perkembangan terkini prestasi fiskal negara dalam 2021 serta memberi gambaran awal mengenai hala tuju, pendekatan diambil serta manfaat bakal dinikmati daripada Belanjawan 2022 yang dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan.
Bagi 2021, MoF menganggarkan defisit Malaysia meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan perbelanjaan fiskal berterusan yang diperlukan bagi menyokong pembukaan ekonomi secara berfasa.
Sasaran hasil cukai adalah RM162.1 bilion — 12.3 peratus lebih rendah berbanding sasaran awal sebanyak RM174.4 billion.
Dalam pada itu, suntikan fiskal langsung di bawah empat pakej rangsangan yang diumumkan pada tahun ini iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), merupakan peningkatan dana COVID-19 sebanyak RM27 bilion berbanding RM17 bilion sebelum ini.
Peruntukan bagi perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak 7.1 peratus kepada RM219.6 bilion manakala perbelanjaan pembangunan kekal kukuh pada RM68.2 bilion. – MalaysiaGazette