Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap kepada media sempena hari pertama memulakan tugas di Bilik Mesyuarat MDN, Kementerian Dalam Negeri, W.P Putrajaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengkaji semula status pemegang pas Malaysia Rumah KeduaKu (MM2H) yang tidak pernah bermastautin di negara ini.

Ia bagi memastikan pemegang pas itu adalah berkualiti dan dapat membantu ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semakan dan rekod pergerakan Jabatan Imigresen mendapati antara 7,000 hingga 8,000 peserta program MM2H dipercayai tidak bermastautin di Malaysia.

“Golongan ini hanya masuk dan datang ke Malaysia untuk tempoh singkat iaitu semasa mendaftar permohonan dan semasa hendak memperbaharui pas sahaja.

“Maka saya akan meneliti secara mendalam status pemastautin tetap di bawah Program MM2H yang tidak aktif ini,kita akan lihat segala ruang dan potensi yang ada dengan memanggil mereka dan tanya apa niat mereka sebenarnya dalam program MM2H di negara kita,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan tarik balik pas pemastautin tetap program MM2H akan ditarik balik sekiranya pemegang pas tidak bermastautin di negara ini.

Ujarnya, Hamzah berkata,  Jabatan Imigresen juga mendapati seramai 3,990 peserta program MM2H tidak pernah masuk dan tinggal di Malaysia bagi tempoh lima tahun untuk tempoh antara 2015 hingga 2019.

Menurut Hamzah, setakat 31 Julai 2021, jumlah pemegang pas aktif MM2H di Malaysia yang diluluskan adalah seramai 57,478 orang dan daripada jumlah itu 28,249 orang adalah peserta secara prinsipal dan 28,229 orang ialah peserta tanggungan.

Tambah beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menetapkan bilangan peserta program MM2H tidak melebihi satu peratus daripada jumlah populasi negara, iaitu kira-kira 320,000 orang jika jumlah penduduk negara ialah 32 juta orang.

Sementara itu, Hamzah berkata, kerajaan juga akan mengkaji syarikat lain seperti pendapatan pemohon serta perkara-perkara membabitkan keberhasilan dan keberkesanan Program MM2H dalam merangsang ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast