Azizulhasni Awang
KUALA LUMPUR – Pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengharapkan atlet paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkeflii bersabar apabila pingat emas dalam acara lontar peluru yang dimenangi semalam ditarik balik.
Azizulhasni berkata, di atas kertas Muhammad Ziyad adalah juara malah memecahkan rekod dunia bukan sesuatu yang mudah.
“Namun saya berharap Ziyad bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi sekarang ini, sudah tentu ianya bukan suatu keputusan yang mudah untuk diterima.
“Saya benar-benar faham akan perasaan Ziyad kerana saya sendiri pernah di tarik kemenangan pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dahulu,” kata pemenag pingat gangsa acara kierin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
Semalam Muhammad Ziyad memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru seterusnya mencatat rekod baharu dunia pada balingan 17.94 meterĀ  kejohanan Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau yang beraksi dalam kategori F20 telah mencatat rekod baharu dunia pada balingan pertama iaitu pada catatan 7.31.

Pingat perak dan gangsa dimenangi peserta Ukraini iaitu Maksym Koval dengan catatan 17.34 danĀ Oleksandr Yarovyi, 17.30.

Bagaimanapun peserta Ukraine membuat bantahan hanya selepas acara tersebut tamat dengan mendakwa Muhammad Ziyad tiba lewat di call room.

Azizulhasni berkata, penarikan pingat yang telah dimenangi merupakan salah satu realiti dunia sukan.
Katanya, ini kerana pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku dan kadang-kadang ia adalah kerana kesilapan sendiri dan kadang-kadang pula ia kesilapan pihak lawan.
Malah menurut Azizulhasni, jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ia memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan.
“Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” katanya yang mengucapkan tahniah kepada Ziyad sambil menambah ia adalah sesuatu yang pahit untuk atlet menelan apa yang dialaminya semalam.
Bagaimanapun, sebagai rakan atletm Azizulhasni menasihatkan Muhammad Ziyad untuk menerima qada kerana semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan meminta jaguh lontar peluru itu tidak berputus asa serta terus bergerak ke hadapan.
Menurut Azizulhasni, sudah tentu beliau berharap bantahan yang dikemukakan pasukan Malaysia akan diterima dan Muhammad Ziyad dapat kembali pingat emas yang sememangnya kepunyaannya.
“Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah di rampas secara terang-terangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast