Bangunan Kementerian Pengangkutan Malayisa (MOT) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan Surau Al-Mikraj di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan terpaksa dirobohkan untuk kerja-kerja pembesaran bangunan terminal bagi menampung keperluan sehingga empat juta penumpang setahun.

Bagaimanapun, surau yang dirobohkan itu akan digantikan dengan pembinaan surau yang baharu dan selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal tersebut.

Jumlah keluasan keseluruhan surau baharu yang disediakan adalah seluas 560 meter persegi yang boleh memuatkan sehingga 500 jemaah di semua lokasi pada satu-satu masa.

Perobohan Surau Al-Mikraj telah dilaksanakan berdasarkan persetujuan, tatacara dan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) terutamanya mengenai kaedah mengurus harta wakaf bahan-bahan yang mengandungi tulisan ayat- ayat suci Al- Quran dan Seni Khat.

Kementerian Pengangkutan menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menitahkan agar semua bahan konkrit yang dikeluarkan daripada Surau Al-Mikraj diserahkan kepada Masjid Telipot, Kota Bharu, manakala bahan-bahan yang boleh diguna pakai semula diserahkan kepada MAIK sebelum diagihkan kepada Masjid Kampung Laut, Kota Bharu, Kelantan.

MOT mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek ini dan berharap agar penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast